
Ketua Polis Jempol Hoo Chang Hook berkata, pihak polis telah menerima maklumat awam mengatakan mangsa seorang OKU telah dipukul oleh abang kandungnya pada jam 3 petang hari itu.
“Bertindak atas maklumat awam, pihak polis telah pergi ke rumah mangsa untuk menjalankan siasatan berkenaan satu kes selisih faham yang melibatkan abang kandung mangsa dengan seorang lelaki India pada 26 Ogos.
“Mangsa mengatakan telah dipukul dengan menggunakan objek dan dicucuh dengan api. Terdapat kesan cedera pada bahagian perut dan bahagian belakang badan mangsa,” katanya dalam kenyataan.
Hoo berkata, mangsa telah dibawa ke Hospital Jempol untuk pemeriksaan doktor dan telah menerima rawatan sebagai pesakit luar.
“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan jika disabitkan kesalahan tertuduh boleh dihukum dengan penjara selama tempoh boleh sampai sepuluh tahun atau denda, atau sebat atau dengan mana-mana dua daripada hukuman itu.
“Tertuduh juga boleh dihukum di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan pemenjaraan bagi tempoh dua kali ganda tempoh maksimum kerana telah menyebabkan kecederaan ke atas seorang dewasa yang kurang upaya atau ahli keluarga lain,” katanya.
Beliau berkata, siasatan masih dijalankan dan orang ramai diminta tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan.
Katanya, polis memohon kerjasama semua pihak yang mempunyai pengetahuan atau maklumat berkenaan kes ini untuk tampil ke hadapan bagi membantu siasatan yang dijalankan.