Serbuan terbesar di Perak, polis rampas dadah, harta RM6.7 juta

Serbuan terbesar di Perak, polis rampas dadah, harta RM6.7 juta

Ketua Polis Perak Mohd Yusri Hassan Basri berkata lima suspek yang sedang memproses dadah turut ditahan.

Ketua Polis Perak Mohd Yusri Hassan Basri menunjukkan hasil rampasan serbuan di Chenderiang, Tapah Jumaat lepas. (Gambar Bernama)
IPOH:
Dua beradik dan tiga rakan ditahan dalam serbuan jenayah dadah terbesar di negeri ini melibatkan rampasan bernilai RM6.7 juta di sebuah bangsal di Chenderiang, Tapah Jumaat lepas.

Ketua Polis Perak Mohd Yusri Hassan Basri berkata, dalam serbuan kira-kira 9.45 pagi itu, anggota dan pegawai Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak dan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Tapah menahan kesemua lelaki berusia 29 hingga 33 tahun yang sedang memproses dadah jenis metamfetamin.

“Hasil serbuan telah berjaya merampas sejumlah dadah tersebut dengan anggaran berat kira-kira 110kg bernilai RM6.6 juta selain bahan-bahan kimia dan peralatan dipercayai digunakan untuk memproses dadah.

“Turut disita, dua kenderaan, empat utas rantai leher, loket, cincin dan subang yang kesemuanya dianggarkan bernilai RM161,000,” katanya pada sidang media di IPK Perak hari ini.

Menurut Mohd Yusri, sindiket ini dipercayai mula aktif sejak Jun dan dadah yang dirampas dianggarkan adalah untuk kegunaan kira-kira sejuta penagih.

Beliau berkata, ujian saringan air kencing mendapati tiga suspek positif dadah. Semakan turut mendapati empat suspek mempunyai rekod kesalahan dadah dan pecah rumah berkumpulan.

Katanya, kesemua suspek, yang juga penganggur, direman tujuh hari sehingga 2 Sept bagi membantu siasatan bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.