
Presiden Umno itu ketika memberi keterangan dalam perbicaraan rasuahnya di Mahkamah Tinggi berkata, bekas perdana menteri Najib Razak, Bendahari Agung Umno, Tengku Adnan Mansor, Ketua Penerangan Umno ketika itu, Ahmad Maslan dan 18 pemimpin lain parti itu didakwa di mahkamah.
“Ada yang didakwa menerima wang daripada sebuah dana,” kata Zahid ketika pemeriksaan semula oleh peguamnya, Ahmad Zaidi Zainal.
Bekas timbalan perdana menteri dan bekas menteri dalam negeri itu tidak menjelaskan dana mana yang dimaksudkannya.
Zahid berkata, laporan dibuat kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas PRU untuk membolehkan siasatan dimulakan.
Tetapi, katanya, peguam negara menggugurkan tuduhan terhadap 15 pemimpin PH, termasuk Ahli Parlimen Sungai Buloh, Sivarasa Rasiah; Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng; Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hasan Karim dan Naib Presiden PKR ketika itu, Rafizi Ramli.
“Jika ini bukan pendakwaan terpilih, jadi apakah yang dilakukan peguam negara ketika itu?” soalnya.
Beliau berkata, persepsi orang ramai ialah “tuduhan dibuat-buat” juga dilihat sebagai pendakwaan politik.
Dalam pernyataan pembelaan terperincinya, Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk berkata, beliau dan pemimpin Umno lain, termasuk di peringkat bahagian menjadi “mangsa pendakwaan terpilih”.
Katanya, mereka yang didakwa itu mengharapkan keadilan daripada mahkamah.
Zaidi: Adakah PH membuat laporan terhadap pemimpin Umno/BN ketika mereka berkuasa dan anda menjadi pembangkang?
Zahid: Ya.
Zaidi: Adakah pendakwaan itu juga bermotifkan politik?
Zahid: Ya.
Zahid berkata, dalam kesnya, beliau menjelaskan kepada SPRM berhubung penggunaan dana Yayasan Akalbudi, sebuah yayasan kebajikan yang diasaskannya untuk membantu golongan miskin dan memerlukan.
“Tetapi, pertuduhan dibuat terhadap saya.”
Beliau mengulangi dakwaannya bahawa Dr Mahathir Mohamad, yang merupakan perdana menteri di bawah pentadbiran PH, memintanya membubarkan Umno dan melompat “atau sesuatu akan berlaku kepada saya”.
“Saya anggap ini ugutan,” katanya sambil menambah beliau sedar Mahathir sudah menafikan dakwaan itu secara terbuka.
Zahid dibicarakan atas 47 tuduhan pengubahan wang dan pecah amanah membabitkan berjuta-juta ringgit dana Yayasan Akalbudi dan menerima rasuah atas pelbagai projek semasa menjadi menteri dalam negeri.
Sebanyak 12 tuduhan itu membabitkan pecah amanah, lapan berkaitan rasuah dan baki 27 lagi untuk pengubahan wang.
Perbicaraan di hadapan hakim Collin Lawrence Sequerah diteruskan.