Pasukan khas siasat dakwaan buku Thomas kenal pasti 19 isu penting

Pasukan khas siasat dakwaan buku Thomas kenal pasti 19 isu penting

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, pembentangan laporan itu bagi mendapatkan arahan dan mandat berhubung tindakan susulan ke atas perkara itu.

Bukut ‘My Story: Justice in the Wilderness’ oleh Tommy Thomas diterbitkan pada Januari 2021.
PETALING JAYA:
Pasukan petugas khas yang menyiasat dakwaan dalam buku bekas peguam negara, Tommy Thomas, mengenal pasti 19 isu penting yang memerlukan perhatian lanjut kerajaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, isu penting itu terkandung dalam laporan akhir pasukan petugas khas berkenaan yang diserahkan kepadanya hari ini.

Katanya, laporan akhir itu akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri dalam masa terdekat bagi mendapatkan arahan dan mandat Jemaah Menteri berhubung tindakan susulan ke atas isu penting terbabit.

Beliau berkata, laporan akhir itu disediakan pasukan petugas khas berkenaan selama sembilan bulan sejak Disember 2021, dengan laporan interim dibentangkan kepada Jawatankuasa Pemantauan pada 18 April lalu.

“Laporan akhir ini disediakan melalui hasil penelitian dokumen dan sesi konsultasi dengan pihak-pihak berkaitan.

“Dalam hal ini, 19 sesi konsultasi diadakan dengan pelbagai pihak berkepentingan yang terdiri daripada agensi kerajaan, bukan kerajaan dan individu,” katanya dalam kenyataan.

Pasukan khas itu dipengerusikan Penasihat Undang-undang Sarawak dan bekas peguam besar Sarawak, Fong Joo Chung, manakala Bahagian Hal Ehwal Undang-undang (BHEUU) di Jabatan Perdana Menteri bertindak sebagai urus setia.

Ia dianggotai bekas setiausaha Kerajaan Sabah, Hashim Paijan; bekas ketua setiausaha Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang juga bekas ketua pengarah BHEUU, Junaidah Kamaruddin; bekas hakim, Jagjit Singh Bant Singh; peguam Shaharudin Ali dan Balaguru Karuppiah serta wakil kerajaan Farah Adura Hamidi dan Mohd Najib Surip..

Thomas menerbitkan memoir bertajuk “My Story: Justice in the Wilderness” pada Januari 2021 yang dikritik pelbagai pihak, antaranya Jabatan Peguam Negara, peguam, ahli politik dan orang awam kerana didakwa mengandungi unsur hasutan, penghinaan dan fitnah.

Thomas dalam buku itu mendakwa wujud penyalahgunaan kuasa dalam isu pelantikan hakim, campur tangan melampau badan eksekutif dalam badan kehakiman, pendakwaan terpilih dan bersifat politik serta pelanggaran sumpah kerahsiaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.