Komputer riba jadi tumpuan siasatan data 46 juta nombor telefon bocor pada 2017

Komputer riba jadi tumpuan siasatan data 46 juta nombor telefon bocor pada 2017

Polis memulakan siasatan baharu selepas menerima laporan mendakwa sumpah bohong palsu oleh saksi dan cubaan menutup tindakan jenayah.

Penyiasat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial sudah meminta dokumen berkaitan diserahkan untuk semakan, selepas laporan polis dibuat mengenai penggunaan komputer riba yang sangat selamat.
PETALING JAYA:
Polis sedang menyiasat bukti baharu dikaitkan dengan kebocoran data kira-kira lima tahun lalu yang dilapor membabitkan 46 juta nombor telefon bimbit rakyat Malaysia.

Bukti baharu itu dipercayai berkisar tentang penggunaan sebuah komputer riba sangat selamat dari premis Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk mengakses pelayan yang mengandungi data semua pelanggan telefon bimbit di negara ini.

FMT difahamkan penemuan pasukan forensik digital yang memeriksa komputer itu buat julung kali bercanggah dengan kenyataan saksi berhubung penggunaan komputer terbabit.

Difahamkan, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial sudah meminta dokumen berkaitan diserahkan untuk semakan.

Timbalan pendakwa raya dipercayai bersetuju satu kertas siasatan dibuka, dengan lebih ramai individu mungkin dipanggil untuk disoal siasat.

Siasatan baharu itu menyusul laporan polis yang dibuat berhubung aduan sumpah bohong oleh seorang saksi, kemungkinan penyalahgunaan rangkaian komputer, potensi kecurian data membabitkan lebih 46 juta nombor telefon bimbit dan cubaan menutup tindakan jenayah.

Bukti baharu itu dipercayai timbul ketika prosiding timbang tara yang dikemukakan kontraktor SKMM, Nuemera (M) Sdn Bhd dan suruhanjaya itu.

Kontrak syarikat itu ditamatkan selepas kebocoran data yang membawa kepada syak wasangka berhubung sistem sekatan perkhidmatan selular awam yang dibina dan dikendalikan Neumera untuk SKMM. Sistem ini mengandungi pangkalan data pusat semua pelanggan telefon bimbit di negara ini.

SKMM berkata, kontrak itu ditamatkan kerana melanggar perkhidmatan. Tetapi, Neumera berkata, selepas siasatan selama enam bulan pada 2018, polis tidak menemui bukti syarikat atau kakitangan itu terbabit dalam kebocoran atau penjualan data di internet.

Syarikat itu mengambil tindakan timbang tara, menuntut ganti rugi daripada SKMM kerana penamatan salah kontraknya dan relif lain.

Dalam prosiding itu, penggunaan komputer riba yang selamat dipersoalkan buat julung kali, menurut sumber yang rapat dengan siasatan berkenaan.

Ia tidak diserahkan kepada polis ketika siasatan awal dan Neumera meminta panel timbang tara memerintahkan ia diperiksa secara profesional.

Hasil penemuan pakar forensik digital yang memeriksa komputer itu bercanggah dengan kenyataan saksi yang mengatakan ia disimpan dengan selamat, tidak diakses oleh saksi atau sesiapa pun di SKMM dan ia tidak pernah keluar dari premis suruhanjaya itu.

Ketika dihubungi FMT, wakil Nuemera enggan mengulas mengenai kes itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.