
Beliau berkata, kerajaan meluluskan peruntukan dan pengagihan semula kuota tenaga boleh baharu (TBB) sebanyak 1,200 megawat (MW) bagi sumber solar.
Katanya, kuota baharu itu akan diagihkan untuk pelaksanaan program bawah mekanisme sedia ada, termasuk New Enhanced Dispatch (Neda) dan program pemasangan solar di bumbung bangunan.
Selain itu, katanya, kaedah pelaksanaan program TBB baharu lain termasuk pembangunan taman solar, pembekalan elektrik untuk tujuan pusat data baharu serta penjanaan hidrogen hijau.
Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Persidangan Tenaga Lestari Antarabangsa Kelima 2022.
Dalam pada itu, Ismail berkata, ia juga bagi penyediaan opsyen baharu perolehan bekalan elektrik hijau kepada syarikat korporat melalui konsep Perjanjian Pembelian Tenaga Maya, mulai suku keempat 2022, dengan tawaran kuota 600MW.
“Dengan persetujuan ini, kerajaan menjangkakan 14,000 peluang pekerjaan dan nilai pelaburan baharu berjumlah RM6 bilion dapat diwujudkan bagi menyokong pembangunan industri TBB negara,” katanya.
Katanya, kerajaan akan turut melaksanakan inisiatif perintis pembangunan Pulau Tenaga Hijau di Pulau Redang dan Pulau Perhentian, Terengganu serta Pulau Tioman, Pahang bagi menyediakan bekalan elektrik konsisten, mampu bayar dan rendah pelepasan karbon.
“Pengguna elektrik di kedua-dua pulau peranginan itu akan menerima bekalan elektrik selama 24 jam menjelang 2025, sekali gus mengurangkan kira-kira 70% pelepasan gas rumah kaca.”
Beliau berkata, kerajaan turut menetapkan kerangka perundangan kawal selia keselamatan pembangunan infrastruktur pengecasan kenderaan elektrik (EV) supaya aspek keselamatan awam dan pengguna terpelihara dan terjamin.
Katanya, Garis Panduan Pembangunan Infrastruktur EV di bawah Akta Bekalan Elektrik 1990 (Akta 447) akan dikuatkuasakan pada suku keempat 2022 untuk memastikan pembangunan infrastrukturnya dilaksanakan dengan selamat dan teratur mengikut piawaian ditetapkan.
“Saya juga ingin memaklumkan bahawa Tenaga Nasional Bhd (TNB) dengan kerjasama Syarikat MySuri Biz Technologies Sdn Bhd akan menyediakan 1,000 unit teksi EV sebagai menyokong usaha nyahkarbon negara.
“Keterlibatan GLC seperti TNB perlu dipergiatkan bagi menyokong pembangunan industri EV negara.”