
“Saya berharap tindakan yang sewajarnya diambil supaya menjadi pengajaran kepada si pelaku dan juga pengasuh lain,” kata Khairul Shamsuddin kepada FMT.
Khairul sebelum ini dalam catatan di Facebook mendakwa pengasuh itu memaklumkan kepada isterinya bahawa bayi mereka berusia 10 bulan, Nur Awliya Delisha, ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di atas lantai pada 19 Ogos lalu.
Mereka segera membawa bayi itu ke hospital dan doktor memaklumkan bayi itu mengalami pendarahan dalaman serta tempurung kepala juga retak.
Nur Awliya meninggal dunia di hospital Shah Alam pada 22 Ogos.
Sementara itu, Ketua Polis Shah Alam Iqbal Ibrahim berkata bedah siasat dijalankan pada 23 Ogos dan polis sedang menunggu hasil laporan tersebut
Iqbal berkata pengasuh berusia 36 tahun kini sedang hamil lima bulan turut menjaga lapan orang kanak-kanak berusia tiga bulan hingga empat tahun termasuk Nur Awliya Delisha.
Kes diklasifikasikan di bawah seksyen 3 (1) Akta Kanak-kanak 2001.