Azalina belakangi seruan RCI perbaharui Jabatan Peguam Negara, kata Pemuda PAS

Azalina belakangi seruan RCI perbaharui Jabatan Peguam Negara, kata Pemuda PAS

Ketika Azalina Othman Said menjadi timbalan speaker Dewan Rakyat beliau pernah menuntut penubuhan RCI bagi melaksanakan pembaharuan Jabatan Peguam Negara.

Ketua Pemuda PAS Ahmad Fadhli Shaari menyifatkan kenyataan Azalina Othman Said melantik peguam negara mengikut perdana menteri sebagai langkah terkebelakang.
PETALING JAYA:
Ketua Pemuda PAS Ahmad Fadhli Shaari membidas penasihat khas perdana menteri Azalina Othman Said kerana membelakangi cadangan pernah disuarakannya bagi pembaharuan Jabatan Peguam Negara ketika berkhidmat sebagai timbalan speaker Dewan Rakyat.

Katanya, kenyataan Azalina “melantik peguam negara orang dia” merupakan seruan kembali ke belakang, selain mempersoalkan visi Ahli Parlimen Pengerang itu yang mencadangkan penubuhan suruhanjaya siasatan diraja (RCI) bagi pembaharuan dikatakan sebelum ini.

“Ketika era pelbagai pembaharuan dari sudut menghidupkan demokrasi sebenar dilakukan oleh kerajaan pada hari ini, seruan ini kelihatan kembali ke belakang.

“Pada ketika kenyataan itu dibuat, menariknya ia juga sebagai menyahut cadangan Ahli Parlimen Pengerang yang ketika itu sebagai timbalan speaker Dewan Rakyat, di mana beliau menuntut supaya sebuah RCI ditubuhkan bagi pembaharuan Jabatan Peguam Negara,” katanya di Facebook.

Katanya, langkah paling baik adalah memisahkan fungsi peguam negara dengan tugas pendakwaan.

“Ini sebenarnya telah dimulakan perancangan oleh pihak kerajaan ketika Takiyuddin Hassan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang),” katanya.

Fadhli bagaimanapun tidak pasti sejauh mana perancangan pemisahan fungsi yang disebut itu sudah dilaksanakan.

“Namun, ia perlu dihidupkan dan dijayakan dengan serius jika mahu melihat undang-undang dilaksanakan dengan adil dan dilihat adil,” kata Ahli Parlimen Pasir Mas itu.

Semalam, Naib Presiden Bersatu Radzi Jidin, berkata kenyataan lantik “orang dia” membuktikan Umno dan Barisan Nasional mengawal penjawat awam mengikut kehendak parti mereka.

Radzi yang juga menteri kanan pendidikan ketika mengulas lanjut, berkata kenyataan Azalina itu menunjukkan sikap sebenar Umno.

Pada 27 Ogos ketika berucap pada taklimat khas presiden Umno, Azalina menegur Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob atas pelantikan peguam negara.

Katanya, kuasa peguam negara adalah sangat besar dan “tidak boleh dipersoalkan”.

“Sesiapa yang jadi perdana menteri akan melantik orang dia untuk jadi peguam negara,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.