Pengampunan untuk Najib seolah-olah mempermainkan badan kehakiman, kata Santiago

Pengampunan untuk Najib seolah-olah mempermainkan badan kehakiman, kata Santiago

Gesaan Ahmad Zahid Hamidi untuk mendapatkan pengampunan diraja bagi bekas PM itu hanyalah untuk memuaskan hati penyokongnya, kata Ahli Parlimen Klang itu.

Ahli Parlimen Klang Charles Santiago berkata, tiada sesiapa pun dapat mengatasi undang-undang atau menjadikan negara sebagai tebusan.
PETALING JAYA:
Pemberian pengampunan diraja kepada bekas perdana menteri Najib Razak yang dipenjarakan seolah-olah mempermainkan badan kehakiman, kata Charles Santiago.

Ahli Parlimen Klang itu berkata, menjelang ulang tahun kemerdekaan negara ke-65 dalam beberapa hari lagi, penting untuk memastikan kedaulatan undang-undang dikekalkan.

“Satu perkara yang boleh kita lakukan untuk negara kita hari ini, menjelang Hari Merdeka, adalah untuk memastikan tiada sesiapa dapat mengatasi undang-undang dan tiada siapa boleh menjadikan negara ini tebusan,” katanya dalam kenyataan.

Tambahnya, gesaan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi agar parti itu memulakan petisyen untuk mendapatkan pengampunan diraja bagi Najib dan menggunakan media sosial sebagai “senjata” hanyalah untuk memuaskan hati penyokongnya.

“Kes Najib bukanlah rumit. Zahid hanya ingin memuaskan hati (penyokong), terutama mereka yang tidak begitu faham mengapa Mahkamah Persekutuan tidak membenarkan keterangan baharu dikemukakan atau penangguhan.

“Selain itu, adakah Zahid berbuat demikian hanya untuk membebaskan Najib? Tidak. (Beliau berbuat demikian) untuk menyelamatkan dirinya juga,” kata Santiago.

Dalam ucapan kepada ahli Umno pada taklimat khas semalam, Zahid berkata, parti itu akan menganjurkan kempen petisyen untuk mendesak agar Najib diberikan pengampunan diraja.

Tambahnya, semua ahli cawangan dan bahagian akan diarahkan untuk mengambil bahagian bagi menunjukkan sokongan mereka kepada bekas presiden Umno yang memulakan hukuman penjara 12 tahun minggu lepas.

Catatan Facebook Najib juga akan disusun dan diterbitkan, katanya.

“Buah fikiran dan semangat di sebalik kata-kata (Najib di Facebook) boleh digunakan sebagai senjata oleh Umno untuk menentang musuh politik kita,” tambahnya.

Berhubung perkara ini, Santiago berkata, Najib memanipulasi media sosial untuk memperdayakan rakyat, dan kini Zahid juga berbuat perkara sama.

“Kita, rakyat, hendaklah sedar dan lawan balik. Ahli politik memanggil kita ‘orang biasa’ berbanding dengan Najib, yang tergolong dalam kumpulan istimewa.

“Jadi mari kita tunjukkan betapa kuatnya kita apabila bersatu,” katanya, menyeru rakyat untuk menentang golongan yang kini menggunakan pelbagai taktik untuk melepaskan penjenayah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.