Masa depan 2 wanita suram selepas nahas bas di P Pinang

Masa depan 2 wanita suram selepas nahas bas di P Pinang

Kerajaan perlu menyiasat nahas membabitkan bas RapidPenang yang melanggar dua kenderaan pada 1 Ogos, kata Pengerusi DAP Lim Guan Eng.

Lim Guan Eng berbual dengan Maizatul Abdullah (kanan) dan adik beradiknya, Mariana dan Shafiq.
GEORGE TOWN:
Kehidupan seorang wanita Maizatul Abdullah penuh pancaroba, selepas bercerai dia kini bergelar ibu tunggal kepada tiga anak di sebuah perkampungan di Balik Pulau.

Dia yang berusia 27 tahun hanya meraih pendapatan lebih sedikit gaji minimum hasil bekerja di kilang elektronik di Bayan Lepas, selain satu-satunya pencari nafkah demi mengisi perut tiga anaknya, sejak tiga tahun lalu.

Kehidupan bertukar buruk pada 1 Ogos apabila bas RapidPenang, masuk ke laluannya pada 6.40 pagi, menghentam sebuah kereta lalu berlanggar dengan motosikal ditunggangnya ketika dalam perjalanan ke tempat kerja. Dia terperosok bawah kereta dan tidak sedarkan diri.

Nahas itu mengakibatkannya patah beberapa tulang rusuk, kecederaan pada paru-paru, hati, pecah lutut, selain mengalami patah pada hidung dan tulang pipi.

Maizatul juga retak tengkorak sekali gus mengalami kecederaan otak. Dia berada selama 15 hari di unit rawatan rapi (ICU) dan kini bergelut untuk kembali berjalan dan terpaksa mengenakan pendakap leher.

Adik beradik Maizatul, Shafiq dan Mariana, berkata kakak mereka tidak lagi berada dalam keadaan sedia kala selepas nahas itu.

“Dia tak lagi mampu bercakap seperti dulu. Kami perlu membantu menjaga anak-anaknya,” kata Mariana.

Lim Guan Eng melawat Lau Su Lan, 26, di hospital. Dia tersepit dalam keretanya yang terbalik selepas pelanggaran dengan bas RapidPenang.

Dua lagi individu dalam kereta terbabit kemalangan itu juga mengalami kecederaan teruk.

Guru tadika, Lau Su Lan, 26, dan teman lelakinya, Voon Chi Cun, 29, tersepit dalam kenderaan mereka selepas kereta dinaiki terbalik atas pembahagi jalan ketika bas terbabit hilang kawalan lalu masuk ke laluan mereka.

Lau, yang memandu kereta mengalami pecah tempurung lutut dan patah empat tulang paha, selain patah siku. Hentakan di kepalanya menyebabkan kecederaan di otak sehingga berdepan masalah hilang ingatan.

Ketika kejadian, Lau dalam perjalanan ke tadika di Sungai Ara. Teman lelakinya, Voon, yang juga jurutera, sepatutnya memandu pulang keretanya selepas dia sampai ke tempat kerja, hanya mengalami lebam.

“Kami tersepit dalam kereta hampir 30 minit dan teman wanita saya tidak sedarkan diri,” kata Voon.

Maizatul dan Voon menceritakan semula pengalaman mereka kepada Pengerusi DAP Lim Guan Eng dan Ahli Parlimen Jelutong RSN Rayer, semalam. Lim berkata, pemandu kenderaan pengangkutan awam yang membahayakan nyawa orang lain sepatutnya dikenakan hukuman berat, sama seperti pemandu mabuk.

Katanya, Kementerian Pengangkutan perlu segera bertindak dan menyiasat nahas itu kerana membabitkan syarikat bas milik kerajaan.

“Menjadi tanggungjawab pengendali pengangkutan awam lebih berwaspada memandangkan nyawa penumpang dan orang lain. Hari ini, masa depan dua wanita terjejas hanya kerana kelalaian pemandu bas.

“Mujurlah, rakaman daripada kamera ‘dashcam’ jelas memaparkan kemalangan berlaku disebabkan kesalahan pemandu bas,” katanya.

FMT sudah menghubungi polis dan Rapid Bus Sdn Bhd untuk ulasan lanjut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.