Lantik peguam negara: Bersih kritik Azalina ubah pendirian bila Ismail berkuasa

Lantik peguam negara: Bersih kritik Azalina ubah pendirian bila Ismail berkuasa

Bersih berkata Ahli Parlimen Pengerang itu pernah mengingatkan Muhyiddin Yassin ketika menjadi perdana menteri agar memisahkan kuasa dan jangan mencampuri urusan mahkamah.

Pengerusi Bersih Thomas Fann berkata kebebasan kehakiman perlu diraikan dan tidak harus ada campur tangan.
PETALING JAYA:
Penasihat khas kepada perdana menteri, Azalina Othman Said, dikritik kerana mengubah pendiriannya supaya Ismail Sabri Yaakob melantik “orang dia” merujuk kepada lantikan peguam negara, kenyataan yang dilihat bertentangan ketika era pentadbiran Muhyiddin Yassin.

Pengerusi Bersih, Thomas Fann, berkata setahun lalu, Azalina sendiri ada mengeluarkan kenyataan semasa Muhyiddin menjadi perdana menteri antara lain “mencadangkan pemisahan kuasa dan jangan mencampuri urusan mahkamah”.

“Kita harus meraikan kebebasan kehakiman. Ini adalah kedaulatan undang-undang dan kita tidak harus campur tangan dalam proses itu, iaitu dalam satu situasi ada pemisahan kuasa antara eksekutif, kehakiman dan perundangan.

“Apa yang dikatakan Azalina ialah campur tangan eksekutif dengan kehakiman, yang itu kita mesti tolak. Tidak patut dan apa kita kata selama ini, kita mesti pisahkan peranan AG (peguam negara) sebagai penasihat kepada kerajaan daripada pendakwa raya,” katanya menurut Astro Awani.

Katanya, pendakwa raya memang perlu bebas selain tidak dipengaruhi Eksekutif.

“Saya hairan sebab setahun lalu, Azalina sendiri ada keluar kenyataan semasa perdana menteri ketika itu Muhyiddin, bahawa beliau mencadangkan pemisahan kuasa dan jangan campur tangan urusan mahkamah ini. Jadi saya hairan dan kecewa dengan apa yang dikatakan oleh Azalina,” katanya.

Semalam, Azalina yang juga Ahli Parlimen Pengerang menegur Ismail atas pelantikan peguam negara.

Azalina berkata, kuasa peguam negara adalah sangat besar dan “tidak boleh dipersoalkan”.

“Sesiapa yang jadi perdana menteri akan melantik orang dia untuk jadi peguam negara,” katanya ketika memberikan ucapan pada taklimat khas presiden Umno di ibu pejabat parti di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).

Idrus Harun dilantik peguam negara selepas Muhyiddin dilantik sebagai perdana menteri kelapan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.