Elaun pembantu Kemas naik kepada RM800

Elaun pembantu Kemas naik kepada RM800

Ismail Sabri Yaakob berkata, kenaikan elaun daripada RM500 itu melibatkan lebih 9,000 kakitangan.

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob hari ini menghadiri Majlis Perasmian Perhimpunan Perdana Sempena Sambutan 60 Tahun Kemas di MAEPS Serdang. (Gambar Bernama)
SERDANG:
Elaun bulanan Pembantu Pemaju Masyarakat Sukarela (PPMS) Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) akan dinaikkan kepada RM800 berbanding dengan RM500 sebelum ini.

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob hari ini berkata, kenaikan elaun itu melibatkan lebih 9,000 kakitangan.

“Elaun (PPMS) yang hanya RM500 akan dinaikkan kepada RM800, melibatkan 9,439 kakitangan,” kata beliau ketika berucap pada Majlis Perasmian Perhimpunan Perdana Sempena Sambutan 60 Tahun Kemas di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) hari ini.

Selain itu, tambahnya, kerajaan juga bersetuju untuk menaikkan kadar bantuan sara hidup ahli Persatuan Bekas Anggota Kemas (PBKAM) daripada RM300 kepada RM500.

Beliau turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM8 juta bagi program digitalisasi di 800 tabika Kemas di seluruh negara.

Dalam perkembangan lain, Ismail berkata, kerajaan bersetuju memendekkan tempoh kelayakan pegawai kontrak perkhidmatan ke lantikan jawatan tetap dari 15 tahun kepada 10 tahun, melibatkan kira-kira 4,322 orang.

Keputusan ini dibuat bagi menunjukkan penghargaan terhadap jasa, sumbangan dan tenaga anggota Kemas, katanya.

Kerajaan turut meluluskan kelonggaran syarat pegawai lantikan kontrak perkhidmatan yang berkhidmat lebih 10 tahun tetapi kurang dari 15 tahun untuk dilantik dalam jawatan tetap.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.