Lebih 46,000 usahawan wanita dapat manfaat program KPWKM

Lebih 46,000 usahawan wanita dapat manfaat program KPWKM

Inisiatif Wanita Bangkit@KPWKM juga telah memberi kesan kepada golongan wanita dalam pelbagai aspek terutamanya aspek kewangan dan penjanaan pendapatan.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakatc Rina Harun berucap ketika merasmikan program Karnival Kerjaya dan Keusahawanan Wanita Bangkit@KPWKM di Salak Tinggi semalam. (Gambar Bernama)
SEPANG:
Program Keusahawanan Wanita Bangkit @ KPWKM yang dilancarkan sejak 1 Sept tahun lepas sudah berjaya dimanfaatkan oleh seramai 46,426 usahawan wanita di seluruh negara.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Rina Harun berkata, jumlah itu amat memberangsangkan, terutama selepas peralihan negara daripada fasa pandemik ke endemik Covid-19.

Menurut Rina, inisiatif itu juga memberi kesan kepada golongan wanita dalam pelbagai aspek, terutamanya kewangan dan penjanaan pendapatan.

“Inisiatif Wanita Bangkit@KPWKM terbahagi kepada dua kaedah, iaitu sektor formal dan tidak formal.

“Bagi sektor formal, kementerian telah bekerjasama dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), TalentCorp Malaysia dan beberapa organisasi pekerjaan yang lain dalam menjalankan pameran kerjaya,” katanya ketika merasmikan program Karnival Kerjaya dan Keusahawanan Wanita Bangkit@KPWKM di Salak Tinggi semalam.

Mengulas lanjut, Rina berkata, menerusi sektor tidak formal, peserta dihubungkan dengan pelbagai peluang perniagaan dana keusahawanan daripada kerajaan.

Katanya, mereka turut diberi bantuan geran MyKasih Kapital sebanyak RM500 sebagai modal kecil untuk memulakan perniagaan.

“Bantuan geran MyKasih Kapital sebanyak RM500 juga disediakan untuk memulakan perniagaan dengan modal kecil dalam bidang e-dagang dan perniagaan kecil-kecilan yang bukan bawah skim Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi,” katanya.

Mengenai karnival itu, Rina berkata, lebih 15,000 peluang kerjaya dan usahawan ditawarkan untuk edisi zon tengah.

“Sebanyak 30 majikan daripada pelbagai sektor dibawa ke karnival ini dan lebih 15,000 jawatan kosong ditawarkan.

“Daripada jumlah itu, 1,000 kekosongan jawatan peringkat eksekutif dan 14,000 kekosongan jawatan bukan eksekutif ditawarkan,” katanya.

Antara agensi yang membuka reruai di karnival itu termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.