Tak perlu takut gerakan Melayu baharu, hasrat kami murni, kata Dr M

Tak perlu takut gerakan Melayu baharu, hasrat kami murni, kata Dr M

Dr Mahathir Mohamad berkata kaum lain tak perlu takut kepada Gerakan Tanah Air.

Dr Mahathir Mohamad berkata pemerintahan orang Melayu juga boleh memberi kejayaan kepada orang bukan Melayu.
PETALING JAYA:
Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad cuba meyakinkan masyarakat bukan Melayu bahawa gerakan Melayu-Islam baharu yang ditubuhnya bukan ancaman.

Bekas perdana menteri itu berkata kaum bukan Melayu tidak perlu takut kepada Gerakan Tanah Air kerana mereka berkongsi hasrat dan matlamat sama.

“Mereka tak perlu takut kerana kita lihat pemerintahan orang Melayu memberi kejayaan kepada orang bukan Melayu juga.

“Kita akan berusaha untuk kebaikan semua pihak walaupun kita pada waktu ini terhad kepada orang Melayu sahaja,” katanya dalam ucapan di himpunan nasional Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia.

Mahathir menegaskan matlamat GTA ialah mendirikan kerajaan yang baik, berwibawa, tidak menyalahgunakan kuasa, dan bukan untuk memberi tempat kepada mana-mana orang.

“Inilah pemerintahan Melayu yang baik dan kita mampu membangkitkan pentadbiran itu,” katanya.

Sementara itu, Mahathir berkata GTA hanya akan menamakan calon perdana menterinya selepas memenangi PRU15.

“Niat kita bukan untuk jadi perdana menteri…kita tidak pun menamakan calon kita sebab tak bermakna kalau kalah…ini tidak harus memecahbelahkan kita,” tegasnya.

Mahathir pada 4 Ogos mengumumkan penubuhan GTA yang dianggotai parti politik Melayu-Islam, NGO, dan individu-individu.

Gerakan itu termasuk partinya, Pejuang; Parti Perikatan India Muslim Nasional; Parti Bumiputera Perkasa Malaysia; dan Berjasa.

Bekas perdana menteri itu berkata GTA mensasarkan 120 kerusi Parlimen di Malaysia Barat, dengan tumpuan pada kerusi majoriti Melayu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.