
Zahid berkata, beliau tidak berbuat demikian walaupun Ismail merupakan perdana menteri daripada Umno.
“Saya tidak pernah menuntut agar kes saya digugurkan, sama ada kepada perdana menteri ke-8 ‘abah kau’ (Muhyiddin Yassin) yang bergantung hayat dengan sokongan kita, apatah lagi kepada perdana menteri sekarang (Ismail) yang merupakan orang parti kita sendiri.
“Begitu juga dengan Najib Razak. Saya sendiri menjadi saksi, beliau secara konsisten berpegang kepada pendirian tidak mahu kesnya digugurkan. Tetapi sebaliknya, beliau mahu membersihkan diri dan dan nama baik keluarganya di mahkamah,” katanya ketika berucap pada taklimat khas presiden Umno di Pusat Dagangan Dunia (WTC).
Beliau berkata, kes melibatkan Najib sehingga beliau dihukum penjara merupakan satu pendakwaan politik.
“Saya mengimbau semua ini kerana mahu kita memahami dahulu latar belakang yang membawa kepada apa yang berlaku hari ini. Dalam bahasa mudah, jangan lupa tak sempat pun Subuh, setelah beroleh kuasa pada PRU14, perkara pertama dilakukan ialah memalukan musuh utama politik mereka, Najib.
“Penggeledahan rumah, rampasan barang dijadikan drama untuk tontotan umum. Belum pun dihadap ke mahkamah gelaran perompak, penyamun, perasuah, menayangkan hasil ‘rampasan’ yang dijadikan drama, hanya semata-mata mahu memberikan persepsi negatif kepada Najib, seolah-olah beliau telah bersalah.
“Saya mengimbas perkara ini bagi memastikan kita memahami itulah politik dendam dan ugutan dibawa oleh mereka atas undi rakyat. Sebab itu, kita dengan lantang dan tegas menyatakan pendakwaan terhadap Najib adalah pendakwaan politik,” katanya.