Perbicaraan Najib ‘tidak adil’ bakal jadi rujukan negara Komanwel, Zahid beri amaran

Perbicaraan Najib ‘tidak adil’ bakal jadi rujukan negara Komanwel, Zahid beri amaran

Zahid Hamidi menarik perhatian ahli Umno kepada beberapa isu yang muncul dalam rayuan Najib Razak terhadap pensabitan kes SRC International.

Najib Razak gagal dalam rayuannya terhadap pensabitan kes SRC International.
KUALA LUMPUR:
Ahmad Zahid Hamidi beri amaran perbicaraan Najib Razak bakal dirujuk sebagai contoh perbicaraan tidak adil oleh negara Komanwel, termasuk tidak menampilkan saksi utama, iaitu bekas gabenor Bank Negara, Zeti Akhtar Aziz, meskipun namanya disebut dalam kes bekas perdana menteri itu.

Presiden Umno itu berkata demikian dalam taklimatnya kepada ahli Umno, semasa menarik perhatian ratusan hadirin kepada beberapa isu yang timbul, dalam rayuan Najib terhadap pensabitan kes SRC International.

Isu yang disorot Zahid termasuk mahkamah tidak menerima pengemukaan keterangan baharu, tidak membenarkan penangguhan selepas pertukaran peguam, dan penularan ‘kertas penghakiman’ sebelum prosiding selesai.

“Pendaftar Mahkamah Persekutuan mengesahkan kebocoran penghakiman itu hanya bersifat deraf. Namun hakikatnya, keputusan bersalah sudah pun dibuat,” katanya.

Di sebalik perhatian kepada isu-isu tersebut, Zahid berkata beliau tidak berniat untuk mempersoalkan atau mempertikaikan keputusan mahkamah.

Namun, dalam masa sama, katanya, hal seperti membenarkan penangguhan untuk memberi ruang kepada pasukan pembelaan membuat persiapan merupakan kebiasaan, “semata-mata untuk menjamin keadilan buat tertuduh”.

“Apabila watak-watak utama tidak ditampilkan, bukti baharu tidak diterima, dan penangguhan tidak dibenarkan ekoran pertukaran peguam baru, maka wujudlah pelbagai persepsi yang menjurus kepada tanggapan wujudnya perbicaraan yang tidak adil,” katanya.

Malah, Zahid menambah, ada orang beranggapan ‘”mahkamah bebas” hanya apabila pemimpin Umno didapati bersalah dan lawannya dibebaskan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.