
Anak sulungnya, Mohd Nizar membangkkitkan perkara itu sambil meminta semua penyokong Umno tidak mensia-siakan pengorbanan bapanya sehingga dipenjara dalam mempertahankan parti.
“Apabila kita kalah dahulu (selepas PRU14) dialah (Najib) antara pertama ke depan pertahan parti. Dia tak minta parti pertahankan dia, dia sanggup dicaci dikeji, difitnah. Saya fikir jika ayah saya diberi pilihan antara penjara atau selamatkan diri, beliau lebih rela pilih penjara daripada menjadi pengkhianat dan bacul kepada parti.
“Saya harap pengorbanan ayah sehingga dipenjara tak disia-siakan, saya dan keluarga perlu tabah dan kuat. Saya minta penyokong Umno kuat serta bangkit semula.
“Kita berjuang secara mutlak menawan semula Putrajaya. Kita mesti bangkit bela pemimpin kita yang dizalimi,” katanya ketika berucap pada taklimat khas presiden Umno di Pusat Dagangan Dunia (WTC).
Nizar yang juga ketua Pemuda Umno Pekan menyeru semua ahli supaya berhenti mengkhianati parti bagi mengelakkan ia hancur.
“Saya merayu hentilah perbuatan khianat, ‘bunuh-membunuh’ satu sama lain. Jika ia berterusan alamatnya hancur parti kita.
“Beliau (Najib) seorang yang percaya dan mudah kasihan pada orang, tapi malangnya bukan semua ikhlas, bukan semua berniat baik. Saya tahu ayah saya betul-betul sayang kepada Umno, sanggup berkorban apa saja,” katanya.