Umno tak ikut rentak pembangkang lengah PRU15, kata Zahid

Umno tak ikut rentak pembangkang lengah PRU15, kata Zahid

Presiden Umno itu berkata, melambatkan PRU15 hanya akan memberi kelebihan kepada pembangkang untuk mengatur strategi menyerang parti itu.

Ahmad Zahid Hamidi berkata, Umno bukan parti nyamuk yang baru ditubuhkan, sebaliknya ia sudah berusia 76 tahun dan tetap teguh walaupun dibadai politik bergelora.
PETALING JAYA:
Umno tidak akan mengikut rentak pembangkang untuk melengahkan pilihan raya umum ke-15 (PRU15), kata Presidennya, Ahmad Zahid Hamidi.

“Kita tidak akan ikut rentak pembangkang yang mahu melengahkan PRU15 agar mereka dapat menyusun strategi, mempelbagaikan propaganda, menambahkan serangan politik terhadap Umno.

“Kita dalam arus politik perdana sangat faham akan gelagat mereka. Jangan bagi ruang seinci pun kepada pembangkang dan sekutu mereka untuk memporak-perandakan Umno,” katanya di Facebook.

Zahid berkata, Umno bukan parti nyamuk yang baru ditubuhkan, sebaliknya ia sudah berusia 76 tahun.

“Bermakna Umno ada tradisi, sejarah dan kesinambungan dalam negara. Ramai yang keluar parti dalam sejarah panjang. Ada yang memilih menentang Umno selepas itu, namun Umno tetap teguh walaupun badai politik bergelora.

“Mereka yang memilih keluar parti dan menentang politik, hayat politik mereka sangat pendek. Mereka umpama percikan bunga api, namun hanya seketika sahaja. Mereka akhirnya menjadi ahli politik kecewa dan berdengus penuh emosi.”

Beliau menyeru ahli Umno tidak goyah, sebaliknya perlu merapatkan barisan, menerima keputusan parti dan jangan dimanipulasi musuh politik.

Isnin lalu, Umno mengadakan pertemuan tergempar dengan semua ketua bahagian di Menara Dato Onn bagi membincangkan pemilihan calon PRU15.

Susulan itu, Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Jamal Yunos mendakwa 158 ketua bahagian yang menyertai mesyuarat itu mendesak PRU15 diadakan “dengan kadar paling segera” dan Zahid akan menyampaikan mesej itu kepada Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi Umno akan datang.

Penggal Parlimen semasa akan tamat pada 16 Julai 2023 dan PRU15 perlu diadakan menjelang pertengahan September 2023, tetapi sesetengah pemimpin Umno mendesak ia diadakan tahun ini susulan kemenangan Barisan nasional dalam beberapa pilihan raya negeri baru-baru ini.

Tetapi, minggu lalu, Ismail dilaporkan berkata, PRU15 mungkin “dilewatkan” supaya parti lawan tidak memperalatkan kontroversi pembelian kapal pesisir laut (LCS), seperti isu 1MDB yang digunakan mereka untuk menawan Putrajaya pada PRU14.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.