
Sumber berkata, serbuan dan siasatan dilakukan selepas SPRM menerima laporan mengenai kes itu yang melibatkan wang tajaan KL City dan tanah Akademi KLFA di Desa Melawati.
“Ketika ini, dokumen yang diperoleh dari pejabat KLFA minggu lalu sudah dihantar ke bahagian forensik untuk dianalisa dan SPRM akan meneliti proses penggunaan dana tajaan ini sama ada mengikut peraturan yang ditetapkan.
“Tajaan paling besar oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan diikuti oleh beberapa syarikat di Kuala Lumpur. Bagaimanapun, siasatan masih di peringkat awal dan SPRM dipercayai akan memanggil beberapa saksi bagi membantu siasatan kes ini,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Kanan Siasatan SPRM, Hishamuddin Hashim ketika dihubungi mengesahkan siasatan sedang dijalankan ke atas persatuan bola sepak itu.
Katanya, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.