
Dia mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di depan Majistret Fardiana Haryanti Ahmad Razali.
Amir Hariri, 31, didakwa selaku penganjur gagal memberitahu pegawai polis yang menjaga daerah Dang Wangi lima hari sebelum mengadakan perhimpunan di depan Kompleks Sogo, Jalan Tuanku Abdul Rahman pada 2 petang 14 Ogos lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 9 (1) Akta Perhimpunan Aman 2012 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 9 (5) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM10,000, jika sabit kesalahan.
Peguam Beatrice Chin berkata, anak guamnya dibenarkan ikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin.
Majistret menetapkan 3 Nov untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen.
Sementara itu, Amir berkata, pendakwaan terhadapnya hari ini tidak mematahkan semangatnya kerana protes itu diadakan untuk menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap isu LCS seperti yang dinyatakan dalam laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).
Katanya, protes LCS akan diteruskan sehingga pihak terbabit dibawa ke muka pengadilan.
“Ini agar wang rakyat tidak sewenang-wenangnya diselewengkan,” katanya ketika ditemui di luar mahkamah.
Sementara itu, Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, pendakwaan ini jelas membuktikan kerajaan takut dan gentar dengan suara rakyat.
“Jelas di sini, rakyat yang lantang bersuara tentang ketidakadilan dan penyelewengan berskala besar libatkan berbilion ringgit didakwa, tetapi mereka yang curi kekal bermaharajalela.”