Penghantar barang parah ditetak ketika tuntut hutang

Penghantar barang parah ditetak ketika tuntut hutang

Suspek didakwa tidak berpuas hati terhadap mangsa yang menuntut hutang bayaran kerja.

Penghantar barang menerima rawatan di Hospital Ampang selepas cedera tetak ketika menuntut hutang. (Gambar Facebook IPD Ampang)
PETALING JAYA:
Seorang penghantar barang parah ditetak oleh seorang individu ketika menuntut hutang dalam kejadian di hadapan sebuah kedai di Taman Mulia Jaya, Ampang, semalam.

Dalam kejadian 7.10 petang, mangsa berusia 41 tahun cedera di lengan dan kaki kanan akibat ditetak suspek bersenjatakan parang.

Ketua Polis Ampang Mohamad Farouk Eshak berkata, sebelum kejadian mangsa berbual dengan rakannya di lokasi kejadian.

Katanya lagi, suspek yang memegang parang secara tiba-tiba meluru ke arah mangsa lalu mengejarnya.

“Suspek kemudiannya terus menetak mangsa hingga parah,” katanya dalam kenyataan.

Farouk berkata, siasatan dijalankan membawa kepada penangkapan suspek berumur 37 tahun yang bekerja sebagai buruh di Taman Dagang, Ampang, 11 malam, hari sama.

“Hasil soal siasat mendapati, punca kejadian disebabkan suspek tidak berpuas hati dengan mangsa yang menuntut hutang bayaran kerja daripadanya.

“Polis turut merampas sebilah parang digunakan semasa kejadian dan mangsa mendapatkan rawatan di Hospital Ampang,” katanya.

Menurutnya, semakan mendapati suspek mempunyai dua rekod kesalahan lampau dan kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.