
Ia selepas peguam, Amer Hamzah Arshad memberitahu mahkamah bahawa Ahli Parlimen Baling itu dimasukkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) pagi ini kerana masalah gastrik.
Hakim Kamaludin Md Said yang mempengerusikan panel tiga hakim, menyatakan keputusan itu telah ditangguhkan berkali-kali.
“Kami tidak mempertikaikan keadaan kesihatannya tetapi kamu tidak boleh menyalahgunakan proses mahkamah,” katanya.
Hakim lain yang turut bersidang bersama Kamaludin adalah Abu Bakar Jais dan Che Mohd Ruzima Ghazali.
Amer berkata, Azeez tidak berniat menyalahgunakan proses mahkamah mahupun pembelaan, sambil menambah bahawa mereka tidak akan meminta penangguhan selanjutnya.
Beliau mencadangkan kedua-dua pihak pendakwaan dan pembelaan kembali pada 6 Sept untuk keputusan Mahkamah Rayuan.
“Kami akan berjanji untuk memberikan MC (sijil perubatan) beliau (Azeez),” katanya.
Kamaludin kemudian memberitahu pihak pendakwaan dan pembelaan untuk datang semula pada 5 Sept.
“Jika tiada keputusan mengenai representasi beliau (Azeez), kami akan berpegang kepada rancangan untuk menyampaikan keputusan kami,” katanya kepada Timbalan Pendakwa Raya Ku Hayati Ku Haron mengenai representasi Azeez.
Azeez didakwa pada 2019 kerana menerima rasuah berjumlah RM5.2 juta berhubung projek jalan raya di Perak dan Kedah.
Dia juga berdepan 10 tuduhan pengubahan wang haram membabitkan sejumlah RM13.9 juta, yang didakwa diterima daripada Menuju Asas Sdn Bhd.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno itu berusaha untuk membatalkan tuduhan rasuah dan pengubahan wang haram dihadapinya, dengan mendakwa ia dilakukan dengan niat jahat.