
“Isteri atau isteri-isteri saya tiada yang bernama Zainab binti Salleh,” tegasnya di Facebook.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Mersing berkata tiada ahli keluarganya yang terlibat dalam perniagaan membabitkan pembekalan atau pembinaan kapal LCS itu.
“Sebagai wakil rakyat dari kawasan Laut dan Pulau (Mersing)…saya suka makan ikan…tapi bukan ikan jerung,” katanya dipercayai merujuk gelaran Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli kepadanya ketika siri pendedahan skandal LCS itu.
Penafian Latiff itu dipercayai sebagai membidas tuduhan berterusan Rafizi yang mendakwa bekas timbalan menteri pertahanan itu mempunyai kaitan dalam skandal LCS.
Pada Isnin lalu, Latiff menafikan wanita yang dikaitkan dalam siasatan projek LCS adalah isterinya malah bersedia memberikan kerjasama penuh dengan siasatan pihak berkuasa terhadap isu itu.
Ia susulan kenyataan Rafizi mendakwa syarikat palsu yang menjadi syarikat pembekal alat ganti kepada projek pembinaan LCS adalah milik keluarga Latiff.
Rafizi mendakwa, beberapa bukti penglibatan Latiff melalui Zainab, iaitu individu dipercayai isterinya dan syarikat, Alizes Marine Limited boleh dilihat melalui laporan forensik projek LCS yang dinyahwarta pada Isnin.
Katanya, menerusi laporan audit tersebut, syarikat pembekal itu dimiliki Zainab, yang merupakan isteri kepada Latiff.
Beliau juga mendakwa siasatan dalaman LCS juga mengesahkan dua syarikat palsu menggunakan nama Alizes Marine sudah didaftarkan dengan nama Alizes Marine Limited berdaftar di Malta dan sebuah lagi syarikat, Alizes Marine Labuan didaftarkan di Labuan.
Latiff keluar Umno selepas pilihan raya umum 2018 dan menyertai Bersatu.