
“Sebagai anggota Kabinet, saya bersedia untuk disiasat bagi membuktikan kebenaran apa yang saya katakan. Hentikan menabur fitnah. Walaupun saya telah memberikan penjelasan, Rafizi masih berterusan dengan pembohongannya.
“Saya tidak memainkan sebarang peranan dalam kontrak LCS tersebut, sedangkan saya menjadi timbalan menteri pertahanan dari 2009 sehingga 2013. Manakala tarikh kontrak LCS kepada BNS dibuat pada 17 Julai 2014,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, beliau dijadikan “modal” serangan Rafizi dengan cuba menunjukkan pemimpin Bersatu turut terpalit dengan rasuah serta tidak layak dipilih pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).
“Saya berharap saudara Rafizi bersikap lebih jujur dalam berpolitik.
“Pembohongannya bukan sahaja menipu masyarakat tetapi juga menggugat keyakinan rakyat kepada pemerintah sehingga boleh menjejaskan keselamatan negara,” katanya.
Terdahulu, Rafizi mendakwa syarikat palsu yang menjadi pembekal alat ganti kepada projek pembinaan LCS adalah milik keluarga Latiff.
Rafizi juga mendakwa, beberapa bukti penglibatan Latiff melalui Zainab, iaitu individu dipercayai isterinya dan syarikat, Alizes Marine Limited boleh dilihat melalui laporan forensik projek LCS yang dinyahwarta pada Isnin.
Katanya, menerusi laporan audit tersebut, syarikat pembekal itu dimiliki Zainab, yang merupakan isteri kepada Latiff.
Beliau juga mendakwa siasatan dalaman LCS juga mengesahkan dua syarikat palsu menggunakan nama Alizes Marine sudah didaftarkan dengan nama Alizes Marine Limited berdaftar di Malta dan sebuah lagi syarikat, Alizes Marine Labuan didaftarkan di Labuan.
Katanya, individu tersebut, yang dilantik sebagai perunding teknikal dan pembekal alat ganti, menghantar invois bagi kerja-kerja yang tidak dilaksanakannya. Akibatnya, sebanyak RM243 juta diseleweng.