Akibat panik, penjawat awam rugi RM429,000 ditipu Macau Scam

Akibat panik, penjawat awam rugi RM429,000 ditipu Macau Scam

Polis berkata, mangsa terkejut diberitahu nama dan nombor kad pengenalannya terlibat dalam kes jenayah pengubahan wang haram dan diminta membuat transaksi.

Polis berkata, mangsa yang takut kerana diugut akan ditangkap dan didakwa di mahkamah, membuat 10 kali transaksi bayaran berjumlah RM429,000 ke beberapa akaun.
KANGAR:
Gara-gara panik dan takut selepas dituduh terlibat dalam kes pengubahan wang haram, seorang penjawat awam mengalami kerugian sebanyak RM429,000 akibat diperdaya sindiket Macau Scam.

Ketua Polis Daerah Arau, Ahmad Mohsin Md Rodi berkata, wanita berusia 50 tahun itu menerima panggilan telefon daripada nombor tidak dikenali yang memperkenalkan diri sebagai pegawai dari pejabat Pos Malaysia Berhad.

“Mangsa diberitahu terdapat satu bungkusan mengandungi barang terlarang, iaitu sekeping kad pengenalan dan lima kad juruwang automatik (ATM) yang didaftarkan atas nama mangsa untuk dihantar ke Sabah,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, mangsa yang menafikan hal itu bagaimanapun diarahkan suspek untuk membuat laporan polis menerusi panggilan telefon yang disambung ke Balai Polis Sabah.

“Selepas panggilan disambungkan, mangsa terkejut diberitahu nama dan nombor kad pengenalannya terlibat dalam kes jenayah pengubahan wang haram dan diminta membuat beberapa kali transaksi bayaran bagi menyelesaikan kes itu.”

Beliau berkata, wanita itu yang takut kerana diugut akan ditangkap dan didakwa di mahkamah atas kesalahan kononnya dilakukan mangsa, percaya dengan dakwaan terbabit dan membuat 10 kali transaksi bayaran berjumlah RM429,000 ke beberapa akaun yang diberikan.

Katanya, polis menerima laporan daripada mangsa pada Rabu lepas dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Beliau mengingatkan orang ramai lebih berhati-hati dan jangan mudah panik serta percaya apabila menerima panggilan sedemikian.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.