Subsidi bersasar guna e-dompet ‘bodoh’, kata ahli ekonomi

Subsidi bersasar guna e-dompet ‘bodoh’, kata ahli ekonomi

Geoffrey Williams berkata subsidi bersasar menerusi e-dompet atau e-baucar terdedah kepada penyelewengan pihak tertentu.

Ahli ekonomi menyeru kerajaan melakukan pindahan tunai bagi pelaksanaan subsidi bersasar, sekali gus memudahkan mereka membeli sendiri barang keperluan.
PETALING JAYA:
Ahli ekonomi mengkritik penggunaan e-baucar dan e-dompet bagi pelaksanaan subsidi bersasar sambil melabelkannya sebagai “bodoh”.

Geoffrey Williams dari University of Science and Technology, berkata e-wallet tidak dapat diakses oleh kumpulan berpendapatan rendah dan sistem itu terdedah kepada amalan penyelewengan.

“Walaupun sering mendengar berhubung kepentingan subsidi bersasar berulang kali, kita masih tidak menemui penyelesaian.

“Perbincangan baru-baru ini berkenaan mensasarkan produk tertentu melalui e-baucar dan e-dompet, namun ia adalah idea paling bodoh dan cara paling bodoh untuk melaksanakan subsidi bersasar,” katanya dalam forum bertajuk “Pathway to a Better Future Malaysia”.

Williams berkata, barang bersubsidi kebiasaannya dijual secara besar-besaran di pasar raya dengan premis itu menerima pembayaran e-dompet, manakala peniaga kecil atau kedai serbaneka berhampiran kawasan kejiranan akan terlepas menerima manfaat subsidi. Mereka yang berada dalam kumpulan berpendapatan rendah, katanya, paling terkesan kerana mereka lebih senang berurusan di kedai kejiranan.

Katanya, wujud juga peluang kepada penyelewengan dalam sistem yang didakwanya boleh menimbulkan risiko pegawai kerajaan dan pemilik perniagaan mengaut untung dengan mempergunakan golongan rentan.

Williams menyeru kerajaan supaya melaksanakan pindahan wang tunai. “Pindahan tunai secara mudah mengisi wang dalam poket rakyat bagi mereka berbelanja mengikut keperluan.”

Katanya, pelaksanaan itu boleh dilaksanakan secara cepat susulan kerajaan sudah mempunyai data penerima layak yang didapati daripada pelbagai skim bantuan sebelum ini.

Awal bulan ini, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz, berkata terlalu awal untuk membuat keputusan pelaksanaan subsidi bersasar menjelang pembentangan Bajet 2023. Katanya, keputusan itu hanya boleh dilakukan sekiranya situasi ekonomi semakin pulih dan inflasi terkawal.

Putrajaya ketika ini menanggung subsidi ayam, telur dan elektrik termasuk kawalan harga minyak.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.