Sabah cadang pinda Enakmen Hutan seiring Akta Perhutanan Negara

Sabah cadang pinda Enakmen Hutan seiring Akta Perhutanan Negara

Ketua Menteri Hajiji Noor menyarankan agar Jabatan Perhutanan Sabah dan jabatan-jabatan berkaitan mengasimilasikan pindaan yang telah dibuat mengikut kepentingan kerajaan negeri.

Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor berkata, pengurusan kawasan hutan simpan perlu terus dimantapkan dalam menyokong dasar kerajaan. (Gambar Bernama)
KOTA KINABALU:
Kerajaan Sabah bercadang meminda Enakmen Hutan 1968 bagi memastikan kerangka perundangan perhutanan negeri dapat bergerak seiring dengan pindaan terhadap Akta Perhutanan Negara (APN) 1984 yang diluluskan Dewan Rakyat Julai lepas.

Ketua Menteri Hajiji Noor berkata, cadangan pindaan itu juga merangkumi aspek lebih mencabar dalam dunia perhutanan dewasa ini, termasuklah untuk memenuhi agenda antarabangsa bagi mengatasi isu perubahan iklim, mitigasi melalui perdagangan karbon dan pemuliharaan biodiversiti.

Katanya, langkah itu juga bakal memperkemas ruang kerjasama antara pelesen Perjanjian Lesen Pengurusan Hutan Mampan dengan kerajaan negeri selaras dengan visi pengurusan hutan mampan.

“Pindaan terhadap APN 1984 bertujuan meningkatkan perlindungan hutan kekal di Malaysia, dan telah menggariskan syarat-syarat yang ketat untuk pewartaan keluar sebarang kawasan hutan simpan kekal di Semenanjung Malaysia.

“Saya percaya mereka telah mencontohi kita, kerana ia lebih awal diamalkan di Sabah. Saya juga difahamkan bahawa melalui pindaan APN, kadar denda, hukuman dan penalti tambahan bagi membendung kesalahan hutan yang merosakkan alam sekitar juga telah dinaikkan,” katanya dalam kenyataan.

Hajiji menyarankan agar Jabatan Perhutanan Sabah dan jabatan-jabatan berkaitan terus mengkaji semula peruntukan yang ada dalam Enakmen Hutan 1968, dan mengasimilasikan pindaan yang telah dibuat mengikut kepentingan kerajaan negeri.

Beliau berkata, pengurusan kawasan hutan simpan perlu terus dimantapkan dalam menyokong dasar kerajaan untuk mengekalkan sekurang-kurang 50% keluasan tanah negeri dilitupi kawasan berhutan, serta mencapai 30% Kawasan Terlindung Sepenuhnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.