Penunggang motosikal parah ditembak

Penunggang motosikal parah ditembak

Mangsa berusia 40-an berjaya melarikan diri dan meminta bantuan seorang pengawal keselamatan di sebuah kawasan perumahan berhampiran.

Seorang penunggang motosikal cedera di bahagian dada dan lengan selepas terkena dua das tembakan. (Gambar Polis)
PETALING JAYA:
Seorang lelaki parah selepas terkena sekurang-kurangnya dua das tembakan ketika menunggang motosikal di Kota Damansara, malam tadi.

Ketua Polis Petaling Jaya, Mohamad Fakhruddin Abdul Hamid, berkata polis yang menerima aduan awam mengenai kejadian 8.40 malam itu, bergegas ke lokasi untuk menjalankan siasatan, namun hanya menemui motosikal mangsa yang dipercayai terbabas susulan ditembak suspek.

Katanya, siasatan awal mendapati mangsa berusia 40-an berjaya melarikan diri dan meminta bantuan seorang pengawal keselamatan di sebuah kawasan perumahan berhampiran.

“Mangsa yang cedera di bahagian dada sebelah kiri dan lengan kiri dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

“Siasatan masih dijalankan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, beliau turut meminta kerjasama orang ramai yang melihat kejadian itu untuk tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Jenayah Mohd Maliki Bin Ariffin di talian 013 8308485.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.