Kami serah petisyen, bukan buat himpunan di Istana Negara, kata NGO penyokong Najib

Kami serah petisyen, bukan buat himpunan di Istana Negara, kata NGO penyokong Najib

Awal hari ini, polis Brickfields berkata pihaknya sedang mengesan penganjur yang melakukan himpunan di Istana Negara.

Presiden Pertubuhan Jalinan Perpaduan Negara Syed Mohammad Imran Syed Abdul Aziz, berkata orang ramai yang datang dan bukannya beliau mengadakan perhimpunan.
PETALING JAYA:
Pemimpin kumpulan penyokong Umno yang menghantar petisyen ke Istana Negara, semalam, berkata mereka tidak berhasrat untuk menganjurkan perhimpunan.

“Orang ramai yang datang, bukan saya buat perhimpunan,” kata Presiden Pertubuhan Jalinan Perpaduan Negara Syed Mohammad Imran Syed Abdul Aziz kepada pemberita di bangunan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini.

Semalam, Syed Mohammad dan sekumpulan penyokong Umno berkumpul di pintu masuk 3, Istana Negara, untuk menyerahkan petisyen memohon bekas perdana menteri, Najib Razak, diberikan pengampunan diraja yang ketika in sedang menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang.

Beliau juga mendesak Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob, memulakan proses pengampunan diraja. Syed Mohammad dilaporkan, berkata beliau akan membuat himpunan lebih besar di hadapan istana sekiranya Ismail tidak memenuhi kehendak mereka.

Menjelaskan kenyataan bahawa beliau akan membuat himpunan lebih besar pada masa akan datang, Syed Mohammad berkata, beliau tidak bermaksud akan menganjurkan himpunan seperti itu di depan istana, namun mengatakan ia akan dibuat pada “program yang lain”.

Katanya: “Momentum untuk kami mohon pengampunan kepada Datuk Seri Najib akan kami teruskan…tak nak mengalah kerana dia seorang pemimpin yang baik.”

Syed Mohammad juga berkata, beliau sudah memberi keterangan di Balai Polis Brickfields berhubung himpunan itu dan sudah menulis surat kepada Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani, sehari sebelum petisyen dihantar.

Awal hari ini, polis Brickfields berkata, mereka sedang mengesan penganjur perhimpunan, semalam, susulan pihak penganjur tidak membuat sebarang permohonan melakukan himpunan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.