Guan Eng imbas gurauan dengan PM mengenai ‘poster boy’

Guan Eng imbas gurauan dengan PM mengenai ‘poster boy’

Pengerusi DAP itu berkata jenaka itu menandakan 'kehidupan baharu’ berikutan komen pemimpin Umno Puad Zarkashi baru-baru ini.

Lim Guan Eng dari DAP (kiri) berkata beliau dan Ismail Sabri Yaakob bergurau mengenainya yang dinamakan sebagai ‘poster boy’ Umno untuk PRU15.
GEORGE TOWN:
Lim Guan Eng mengimbas kembali jenaka yang dikongsikan bersama dengan perdana menteri yang dikatakan kini “ironik”, susulan seorang pemimpin Umno memberitahu parti itu tidak lagi memerlukan “poster boy”.

Pengerusi DAP itu berkata, beliau bertemu Ismail Sabri Yaakob di Parlimen selepas pilihan raya negeri (PRN) Johor di mana beliau mengucapkan tahniah kerana dinamakan sebagai “poster boy” Umno untuk pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Menurut Lim, Ismail kemudian bergurau dengan berkata: “Betulkah? Jangan-jangan jadi poster atas pokok saja…”

Lim kemudian membalas: “”Jadi macam Johor kemudian”..

“Kami berdua ketawa merujuk kepada apa yang berlaku di Johor, apabila menteri besar asal Hasni Mohammad digantikan pada saat akhir dengan Onn Hafiz Ghazi,” kata Lim kepada FMT.

Sebelum PRN Johor, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan Hasni akan dicalonkan untuk penggal baharu sebagai menteri besar Johor jika BN berjaya membentuk kerajaan negeri.

BN kemudiannya memenangi 40 daripada 56 kerusi DUN.

Bagaimanapun, Onn, ADUN Machap, sebaliknya mengangkat sumpah sebagai menteri besar.

“Jika diimbas kembali, jenaka ini kelihatan ironik dan menandakan kehidupan baru dengan komen sukar difahami yang dibuat Puad Zarkashi mengenai tiada “poster boy” diperlukan Umno,” kata Lim merujuk kepada ahli Majlis Tertinggi Umno itu.

Semalam, Puad berkata, parti itu tidak lagi memerlukan “poster boy” untuk PRU15 kerana ia “tidak lagi relevan”.

“Walaupun keputusan telah dibuat, ia kini menjadi liabiliti. Lebih baik batalkan sahaja “poster boy” itu,” kata Puad dalam catatan Facebook, sambil menambah bahawa lebih mudah untuk menggunakan logo BN.

Pada April, Majlis Tertinggi Umno bersetuju untuk menamakan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob sebagai “poster boy” untuk PRU15.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.