
Hakim Wan Ahmad Farid Wan Salleh dalam keputusannya menerusi prosiding dalam talian, memutuskan bahawa Kastam telah tersilap dalam menaikkan BOD berhubung barangan yang telah dieksport ke luar negara.
Menurut Bernama, peguam S Saravana Kumar yang mewakili Petronas, berkata dalam hujah untuk membatalkan BOD, mahkamah juga membuat pengisytiharan bahawa pembekalan etilena oleh Petronas kepada Idemitsu SM (Malaysia) Sdn Bhd (ISM) adalah eksport dan bukan bekalan yang dibuat di Malaysia selaras dengan tujuan dan semangat Akta GST 2014.
Peguam itu berkata, pada Disember 2020, Kastam mengeluarkan BOD, mendakwa bahawa pembekalan etilena yang dibuat oleh Petronas kepada ISM adalah “bekalan buatan Malaysia” dan bukan eksport.
“Ini walaupun etilena telah dihantar kepada pembeli luar negara dan pergerakan etilena itu disokong oleh pengisytiharan eksport (Borang K2) yang diserahkan kepada Kastam,” kata Saravana Kumar.
Menurut beliau, pertikaian itu bergantung terutamanya mengikut Seksyen 17(1)(b) Akta GST memperuntukkan bahawa sebarang pembekalan barang yang dieksport adalah pembekalan berkadar sifar, dan tidak boleh dikenakan GST.