Cukai 15% ke atas MNE cukup untuk hasil negara, kata Guan Eng

Cukai 15% ke atas MNE cukup untuk hasil negara, kata Guan Eng

Pengerusi DAP itu berkata, hampir 3,000 MNE di bawah cawangan cukai multinasional LHDN bakal memberikan 'hasil tambahan bernilai ratusan juta ringgit' apabila GMT dilaksanakan tahun depan.

Lim Guan Eng berkata, dengan adanya cukai minimum global 15%, tiada keperluan untuk melaksanakan cukai jualan dalam talian 10% bagi barang bernilai rendah.
PETALING JAYA:
DAP berkata, pelaksanaan 15% cukai minimum global (GMT) ke atas perusahaan multinasional (MNE) lebih daripada mencukupi untuk memberi hasil tambahan yang diperlukan kerajaan pada 2023.

Pengerusinya, Lim Guan Eng berkata, dengan hasil tambahan itu, tiada lagi keperluan untuk mengenakan cukai tambahan 10% ke atas jualan barang bernilai rendah (LVG) di bawah RM500 mulai tahun depan.

“Keperluan kerajaan untuk mendapatkan hasil tambahan boleh dipenuhi dengan 15% cukai global yang dicadangkan ke atas MNE,” kata bekas menteri kewangan itu sambil menambah ini lebih daripada mencukupi untuk menggantikan cukai jualan dalam talian 10%.

Beliau mendapati Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dalam kenyataan pada Oktober 2021 menyatakan Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) mengumumkan 136 negara bersetuju melaksanakan cukai minimum 15% ke atas MNE mulai 2023.

Kadar cukai 15% itu mampu mengagihkan semula keuntungan lebih USD125 bilion daripada kira-kira 100 MNE terbesar dan paling menguntungkan di dunia kepada semua 136 negara. Malaysia antara salah sebuah negara yang bersetuju secara dasar terhadap cukai itu.

Lim berkata, terdapat hampir 3,000 MNE di bawah cawangan cukai multinasional LHDN, yang bakal memberikan “hasil tambahan bernilai ratusan juta ringgit” apabila kadar cukai global itu dilaksanakan mulai 1 Jan 2023.

Beliau pada mulanya mencadangkan pengecualian cukai jualan dalam talian ketika Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Cukai Jualan (Pindaan) 2022 awal bulan ini. Ketika itu, Lim mahu cukai berkenaan dikecualikan sehingga negara menyelesaikan masalah ekonominya dan jangkaan “ancaman” kemelesetan berakhir.

RUU itu bertujuan melaksanakan cukai jualan rata 10% ke atas barangan di bawah RM500 yang dibeli dalam talian dan dihantar ke Malaysia oleh pembekal asing berdaftar dengan Kementerian Kewangan. Ia akan berkuat kuasa Januari depan.

Timbalan Menteri Kewangan, Shahar Abdullah dilaporkan berkata, langkah itu akan mewujudkan saingan lebih adil untuk pembekal tempatan dan asing, yang dijangka menjana pendapatan RM200 juta setahun.

Lim berkata, jika saingan sihat adalah matlamatnya, kerajaan harus memansuhkan cukai jualan dalam talian 10% ke atas LVG bagi pembekal tempatan.

Kadar GMT sebahagian daripada pembaharuan sistem cukai antarabangsa OEDC bagi memastikan pengagihan keuntungan dan hak cukai lebih adil dalam kalangan negara berhubung MNE terbesar dan paling menguntungkan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.