
Presidennya, Ahmad Zahid Hamidi berkata, usaha mengemukakan bukti baharu dan penangguhan bagi membolehkan pasukan pembelaan baharu Najib membuat persiapan dinafikan mahkamah.
Tambahan, katanya, bekas peguam negara, Tommy Thomas turut mendakwa wujud campur tangan perdana menteri era Pakatan Harapan (PH) pada 2018.
Walaupun tidak menyebut siapakah perdana menteri itu, namun Dr Mahathir Mohamad mengetuai kerajaan PH selepas gabungan itu memenangi pilihan raya umum ke-14 pada 2018.
“Kepada seluruh ahli Umno, kita perlu bertenang dan tanamkan tekad, segala kepincangan dalam sistem untuk menjamin keadilan akan menjadi salah satu agenda untuk diperbetulkan.
“Ini termasuklah pendedahan Thomas mengenai campur tangan politik perdana menteri PH terdahulu dalam pelantikan hakim dan perjalanan sistem perundangan negara,” kata Zahid dalam kenyataan.
Semalam, Mahkamah Persekutuan menolak rayuan terakhir Najib untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta.
Awal tahun ini, Thomas menerusi bukunya bertajuk “My Story: Justice in the Wilderness” membuat pendedahan menggemparkan mengenai campur tangan politik, khususnya dalam institusi peguam negara.
Beliau antara lain mendakwa berlaku penyalahgunaan kuasa dalam isu pelantikan hakim, campur tangan badan eksekutif melampau dalam badan kehakiman, pendakwaan terpilih dan bersifat politik serta pelanggaran sumpah kerahsiaan.
Susulan itu, kerajaan pada 9 Okt 2021 mengumumkan penubuhan pasukan petugas khas siasatan bagi membuat kajian awal sebelum sebarang tindakan diambil terhadap dakwaan Thomas dalam buku memoirnya.
Bagaimanapun, sehingga kini tiada sebarang perkembangan diumumkan.