Tanpa Najib, landskap politik negara tak terjejas, kata PAS

Tanpa Najib, landskap politik negara tak terjejas, kata PAS

Bekas PM itu hanya akan digantikan orang lain kerana pemimpin sentiasa silih berganti, kata setiausaha Majlis Syura Ulama PAS.

Nik Muhammad Zawawi Nik Salleh berkata ketiadaan Najib Razak tidak menjadi masalah kepada PAS termasuk di Pahang.
SERDANG:
Politik negara akan tetap berjalan seperti biasa walaupun apabila Najib Razak mula menjalani hukuman penjara, kata seorang pemimpin PAS.

Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS Nik Muhammad Zawawi Nik Salleh berkata, bekas perdana menteri itu akan diganti oleh orang lain kerana pemimpin sentiasa silih berganti.

“Landskap politik negara berjalan seperti biasa. Pemimpin silih ganti, walaupun dia dah tak ada atau masuk penjara, orang lain akan gantikan.

“Cuma harapan saya, apabila bila orang lama bila tidak ada, generasi baru boleh jadi generasi yang satukan masyarakat di Malaysia,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa Asia untuk Pertanian Lestari Ke-7 di Universiti Putra Malaysia (UPM).

Beliau berkata demikian apabila ditanya sama ada ketiadaan Najib akan mempengaruhi keadaan politik negara.

Semalam, Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman ke atas Najib dalam kes SRC International.

Ahli Parlimen Pekan itu, yang didapati bersalah atas tuduhan salah guna kuasa, pecah amanah jenayah dan pengubahan wang haram, dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta. Dia mula menjalani hukumannya di Penjara Kajang semalam.

Zawawi berkata lagi, ketiadaan Najib juga tidak menjadi masalah kepada PAS, termasuk di Pahang.

Katanya, PAS sentiasa berkembang walaupun sebelum Najib menjalani hukuman penjara.

“PAS ini waktu ada Najib kita berkembang. Kita sentiasa kembang bergerak ke hadapan. PAS satu-satunya parti yang sentiasa berkembang.

“Parti lain turun naik, termasuk di Pekan,” katanya.

Beliau juga enggan mengulas sama ada PAS akan meletakkan calon di Pekan pada PRU15.

“Kita tunggu pilihan raya (nanti),” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.