
Penguasaan Umno dalam BN akan memastikan keputusannya adalah muktamad, kata James Chin daripada Universiti Tasmania.
“Dalam BN, Umno bos besar. Bukan seperti dalam PH, di mana (kuasa) parti komponen lebih sama rata,” katanya kepada FMT.
Chin mengulas mengenai perang mulut antara veteran Umno Nazri Aziz dan SA Vigneswaran berhubung hasrat presiden MIC itu untuk bertanding di kerusi Sungai Siput pada PRU15.

Baru-baru ini Nazri, Ahli Parlimen Padang Rengas, menyifatkan Vigneswaran sebagai “pelacur politik” kerana mahukan kerusi selamat.
Naib Presiden MIC, A Kohilan Pillay membalas dengan berkata, jika logik itu dipakai, lebih separuh daripada Ahli Parlimen sekarang akan dianggap sebagai “pelacur”, termasuk bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dan Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim.
Nazri dan MIC bertelagah sejak minggu lepas, apabila parti itu mengumumkan hasrat untuk bertanding di 12 kerusi Parlimen pada PRU15.
Nazri menyamakan MIC dengan pengemis dan mengaitkan kemenangan parti itu dalam pilihan raya negeri (PRN) Melaka dan Johor pada sikap muhibah yang ditunjukkan Umno.
Chin berkata, BN telah lama menganggap MIC sebagai anggota paling lemah kerana tiada kerusi majoriti India di Parlimen.
Beliau mendakwa, BN tidak berminat untuk memberikan sokongan kuat kepada MIC kerana tiada bukti statistik menunjukkan bahawa pengundi India telah kembali menyokong parti itu dalam jumlah yang besar.
Pada PRU14, MIC memenangi dua daripada sembilan Parlimen dan tiga daripada 18 kerusi DUN yang ditandingi.

Anantha Raman Govindasamy daripada Universiti Malaysia Sabah bersetuju dengan Chin dengan berkata, pilihan raya selalunya ialah suatu “permainan angka”.
“Jika bilangan anda kecil, maka kuasa tawar-menawar anda lemah,” katanya.
“Pada penghujung hari, MIC akan berkompromi dengan sebarang keputusan yang dibuat oleh Umno.”
Menurutnya, beliau percaya MIC mahu bertanding di Sungai Siput atas sebab “nostalgia”, namun tambahnya, Umno lebih cenderung untuk mempertimbangkan demografi kawasan itu. Sebanyak 40% pengundi di Sungai Siput berbangsa Melayu, 30% Cina dan 20% India.
Dari 1959 hingga 1974, kerusi itu dipegang oleh presiden MIC ketika itu, VT Sambanthan, dan kemudian oleh ketua parti seterusnya, S Samy Vellu, sehingga 2008. Samy Vellu kemudiannya tewas kepada Dr Michael Jeyakumar daripada Parti Sosialis Malaysia.
Kerusi Parlimen itu kini dipegang Kesavan Subramaniam daripada PKR.