Pekerja ditahan curi tong sampah roro syarikat, jual dalam talian

Pekerja ditahan curi tong sampah roro syarikat, jual dalam talian

Suspek berusia 29 tahun ditahan hasil semakan melalui CCTV susulan laporan kehilangan 13 tong sampah di Balakong.

Polis berkata, suspek menjual 13 tong sampah roro secara dalam talian dengan harga antara RM2,500 hingga RM5,000. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang pekerja sebuah syarikat menyewa tong sampah pukal (roro) ditahan kerana disyaki menjadi dalang dalam kejadian curi dan menjual barangan itu secara dalam talian, pada 10 Ogos lalu.

Suspek berusia 29 tahun didakwa mengeluarkan tong terbabit dari tempat simpanan sebelum menjual pada harga RM2,500 hingga RM5,000.

Ketua Polis Kajang Mohd Zaid Hassan berkata, perbuatan suspek terbongkar selepas polis menerima laporan daripada seorang pengurus syarikat sewa tong sampah roro, mendakwa 13 buah tong telah hilang dari simpanan di Balakong, Selangor.

Katanya, hasil siasatan dan semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati, suspek merupakan pekerja syarikat itu sendiri dan disyaki bertindak mengeluarkan tong roro terbabit dari tempat simpanan.

“Sebanyak lima unit tong roro bersaiz 60sm dan lapan unit bersaiz 121sm bernilai RM58,500 telah dicuri,” katanya menurut Kosmo.

Zaid berkata, turut ditahan ialah empat lelaki warga tempatan yang mengaku telah membeli tong roro tersebut secara dalam talian bagi membantu siasatan.

“Hasil soal siasat mendapati, suspek mengakui telah mengiklankan tong roro menerusi aplikasi dalam talian sejak Mei hingga Julai lalu serta telah menjual 13 tong di sekitar Selangor dan Perak dengan harga RM2,500 hingga RM5,000.

“Polis kini mengesan saki-baki individu yang terlibat dan kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.