Peguam Diraja Laidlaw cabar keputusan tak dibenar wakil Najib

Peguam Diraja Laidlaw cabar keputusan tak dibenar wakil Najib

Peguam dari UK itu memfailkan notis rayuan semalam melalui peguam cara, Tetuan Shafee & Co.

Pada Julai Mahkamah Tinggi memutuskan peguam UK, Jonathan Laidlaw, tidak memenuhi syarat untuk diterima sebagai ad hoc mengikut Akta Profesion Undang-undang. (Gambar 2HareCourt)
PETALING JAYA:
Peguam United Kingdom Jonathan Laidlaw, merayu kepada Mahkamah Persekutuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi, bulan lalu, yang tidak membenarkan permohonannya mewakili Najib Razak di mana rayuan akhirnya sudah diputuskan.

Laidlaw memfailkan notis rayuan semalam, melalui peguam cara, Tetuan Shafee & Co.

Peguam Negara Idrus Harun, pendakwa raya bagi kes SRC, Badan Peguam dan Jawatankuasa Peguam Kuala Lumpur, yang membantah permohonan Laidlaw, sudah maklum.

Peguam Bastian Pius Vendargon, yang mewakili Badan Peguam, mengesahkan perkembangan terbaharu itu ketika dihubungi.

Tidak jelas mengapa Laidlaw mahu mengemukakan rayuan memandangkan panel lima hakim Mahkamah Persekutuan yang bersidang dengan dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat, sudah mengekalkan sabitan dan hukuman terhadap Najib.

Pada 28 Julai 2020, Mahkamah Tinggi mendapati Najib bersalah terhadap tujuh pertuduhan dan menjatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.

Pada 21 Julai, Hakim Mahkamah Tinggi Ahmad Kamal Md Shahid, memutuskan Laidlaw, yang juga Peguam Diraja (QC), tidak memenuhi syarat untuk diterima sebagai ad hoc seperti diperuntukkan dalam Akta Profesion Undang-undang.

Kamal berkata, Laidlaw tidak mempunyai kelayakan khas dan pengalaman yang tidak dimiliki peguam tempatan.

Hakim itu juga berkata, peguam negara ini mempunyai kemampuan mengendalikan kes membabitkan tuduhan mengikut Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Kanun Keseksaan dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (Amla).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.