Najib dijangka hadir bicara 1MDB di Mahkamah Tinggi KL esok

Najib dijangka hadir bicara 1MDB di Mahkamah Tinggi KL esok

Najib Razak berdepan empat pertuduhan guna kedudukannya memperoleh suapan RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah sama.

Mahkamah Tinggi mengeluarkan perintah kepada pihak penjara supaya bekas perdana menteri itu menghadiri prosiding di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah, esok.
KUALA LUMPUR:
Najib Razak yang kini menjalani hukuman penjara kerana menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta, dijangka hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, esok, bagi perbicaraan kes 1MDB.

Difahamkan, mahkamah telah mengeluarkan perintah kepada pihak penjara supaya bekas perdana menteri berusia 69 tahun itu menghadiri prosiding di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah.

Prosedur dalam kes sedemikian adalah untuk mahkamah mengeluarkan perintah kepada pihak penjara bagi membolehkan banduan hadir pada perbicaraannya bagi kesalahan lain atau sebagai saksi.

Najib menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah yang sama.

Semalam, Najib dihantar ke Penjara Kajang untuk menjalani hukuman penjara selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta ke atas Najib kerana menyeleweng dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Panel lima hakim dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat menolak rayuan Najib untuk mengetepikan sabitan dan hukuman yang diputuskan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, pada 28 Jul 2020.

Pada 8 Dis 2021, Najib gagal mengetepikan keputusan itu selepas Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.