
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Arman Azha Abu Hanifah berkata, ini kerana ruang tidak diberikan sewajarnya kepada Najib untuk membela diri, berikutan kes SRC International Sdn Bhd adalah kes berprofil tinggi.
“Kita sudah pasti menghormati keputusan yang dibuat, tetapi sejak awal kita nyatakan keadilan perlu diangkat. Sepatutnya pihak mahkamah kena ambil kira semua sudut sebelum keputusan untuk kes berprofil tinggi dibuat.
“Dalam keadaan hari ini (keputusan mahkamah), Umno perlu konsisten dengan kekuatan jentera di peringkat akar umbi supaya boleh bergerak dengan lebih kuat untuk memperoleh kemenangan PRU15, kerana apa berlaku hari ini adalah ‘political persecution’,” katanya dengan menambah pemimpin Umno kini perlu menunjukkan kepada rakyat “double effort” dalam menghadapi pilihan raya akan datang.
Sementara itu, Ketua Umno Bahagian Beruas, Azhar Ahmad berkata, keputusan mahkamah hari ini juga bukti Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob tidak mencampuri urusan mahkamah.
“Maknanya, perdana menteri kita menjunjung tinggi keluhuran undang-undang. Jadi, segala tohmahan pembangkang mengatakan Umno…campuri keputusan mahkamah meleset serta terbukti fitnah.”
Beliau berkata, keputusan mahkamah semalam juga tidak akan menjejaskan persiapan BN menghadapi PRU15 kerana BN, terutama Umno, telah mengharungi pelbagai situasi, namun perjuangan parti tetap diberi keutamaan.
“Kita dapat melihat bagaimana kematangan parti ini, ahli Umno mengawal emosi…kita berjuang bukan sebab individu, tapi atas sifat perjuangan parti. Umno ada pengalaman luas sejak 1996, peristiwa Semangat 46, kita lihat kalau ikut orang cakap Umno hancur, Umno pecah, tapi kita masih bertahan.”
Sementara itu, Naib Presiden Umno, Mahdzir Khalid berkata, jasa dan khidmat Najib kepada parti serta negara sama sekali tidak boleh dinafikan.
“Sebagai rakan seperjuangan dalam Umno, apa sekalipun yang berlaku, jasa dan khidmat bakti beliau kepada Umno dan negara sebelum ini, sama sekali tidak boleh dinafikan, ‘Justice hurried is justice buried’ adalah satu frasa yang boleh kita hayati bersama dalam situasi ini,” katanya di Facebook.
Setiausaha Agung Umno, Ahmad Maslan pula berkata, kes Najib akan terus diulas dan dihakimi rakyat selepas ini.
“Kes ini akan terus diulas, rakyat juga sedang menghakimi, diharap beliau dan keluarga terus tabah,” katanya di Twitter.
Dalam pada itu, Ketua Umno Bahagian Selayang, Abdul Shukur Idrus turut simpati dengan nasib Najib dan keluarganya, tetapi keputusan kes itu meningkatkan semangat ahli parti untuk berjuang memenangkan parti.
“Kita mesti teruskan agenda kita untuk PRU. Ia juga memberi semangat dan kekuatan kepada kita untuk terus menang dalam PRU supaya pemimpin kita tak teraniaya seperti hari ini,” katanya kepada FMT.