Kes dipukul senior, 10 pelajar kolej vokasional ditahan

Kes dipukul senior, 10 pelajar kolej vokasional ditahan

Polis berkata, mangsa cedera di bahagian tulang rusuk, pinggang dan sakit seluruh badan akibat dipukul rakan senior beramai-ramai di surau asrama.

Polis berkata, 10 pelajar lelaki berusia 16 hingga 20 tahun itu ditahan susulan laporan yang dibuat ibu mangsa kelmarin.
KUALA LUMPUR:
Polis menahan 10 pelajar lelaki di sebuah kolej vokasional di Wangsa Maju, di sini semalam kerana disyaki memukul seorang pelajar hingga cedera.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Ashari Abu Samah berkata, penahanan semua pelajar berusia 16 hingga 20 tahun itu susulan laporan polis dibuat seorang wanita berhubung kes itu kelmarin.

Beliau berkata, pengadu yang merupakan ibu mangsa menerima makluman daripada warden asrama mengatakan anaknya tidak sihat dan dibawa ke Hospital Kuala Lumpur bagi mendapatkan rawatan.

“Mangsa (lelaki) memaklumkan beliau dipukul beramai-ramai oleh rakan-rakan senior kolej semasa berada di surau asrama.

“Mangsa mengalami kecederaan di bahagian tulang rusuk, pinggang serta sakit di keseluruhan badan akibat dipukul,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Sehubungan itu, katanya, polis membuka satu kertas siasatan di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan, iaitu kesalahan merusuh yang boleh dikenakan hukuman penjara atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Ashari berkata, kes ini masih dalam siasatan dan menasihatkan orang ramai mematuhi undang-undang kerana tindakan akan diambil terhadap mana-mana individu yang melanggar undang-undang tanpa mengira pesalah itu berstatus pelajar.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.