Kereta ‘sumbat’ pendatang asing kemalangan, pemandu ditahan

Kereta ‘sumbat’ pendatang asing kemalangan, pemandu ditahan

Suspek dikatakan ditawarkan upah RM1,200 bagi membawa 10 pendatang asing dari Chiku di Gua Musang, Kelantan ke Gambang, Pahang.

Pemandu kereta itu ditahan dan disiasat bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012, menurut Ketua Polis Besut Abdul Rozak Muhammad. (Gambar Facebook)
BESUT:
Seorang lelaki tidak sempat menerima habuan membawa 10 pendatang asing tanpa izin, apabila dia ditahan polis selepas kereta Perodua Alza dipandunya terlibat kemalangan jalan raya di Kampung Tok Dor, dekat sini, semalam.

Ketua Polis Besut, Abdul Rozak Muhammad, berkata dalam kejadian pada 7.20 pagi itu, suspek yang “menyumbat” 10 penumpang lelaki dalam kereta tersebut dikatakan ditawarkan upah RM1,200 bagi membawa mereka dari Chiku di Gua Musang, Kelantan ke Gambang, Pahang.

“Suspek dikatakan terlelap semasa memandu menyebabkan keretanya melanggar belakang sebuah kereta Proton Persona di hadapannya. Kereta yang dilanggar tersebut kemudian hilang kawalan lalu bertembung dengan sebuah kereta Proton Wira dari arah bertentangan.

“Tiga pendatang asing tanpa izin yang cuba melarikan diri dari tempat kemalangan berjaya diberkas oleh orang awam, manakala pemandu dan seorang lagi pendatang asing yang mengalami kecederaan dihantar ke Hospital Besut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, empat pendatang asing tanpa izin (termasuk seorang yang cedera) yang gagal melarikan diri berusia 19 hingga 47 tahun ditahan bersama pemandu berusia 34 tahun itu, dan pihaknya masih mengesan enam lagi yang masih lolos.

Abdul Rozak berkata, siasatan awal ke atas pemandu kereta itu mendapati pada Isnin lepas, dia dihubungi seorang lelaki warga Thailand dikenali sebagai “Pak Do” yang menawarkan upah untuk memandu dan membawa pendatang asing tanpa izin menggunakan Perodua Alza yang disediakannya.

“Hasil semakan kesalahan lampau, pemandu itu (didapati) mempunyai dua rekod kesalahan dadah, manakala ujian saringan air kencing pula mendapati dia positif dadah jenis metamfetamin.

“Polis turut merampas empat biji pil berwarna kemerahan dipercayai pil kuda dan enam unit telefon bimbit,” katanya.

Abdul Rozak berkata, lelaki itu ditahan dan disiasat bawah Seksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012, manakala pendatang asing tanpa izin terbabit ditahan bawah Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155).

Kes turut disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.