
Dalam reaksinya berhubung sabitan dan hukuman bekas perdana menteri, Najib Razak, yang diputuskan Mahkamah Persekutuan, hari ini, presiden PKR itu, berkata rakyat sebenarnya berkuasa dalam memastikan badan kehakiman bebas untuk dibersihkan daripada rasuah.
“Keputusan rakyat ini lah yang membolehkan pendakwaan yang profesional dan ketegasan, keberanian badan kehakiman mengikut fakta dan hukum, bukan mengikut telunjuk politik pihak berkuasa yang kita alami selama puluhan tahun.
“Sekarang ada perasaan lega, selain melahirkan penghargaan kepada hakim hakim…berani dan berwibawa, tunduk kepada fakta dan hukum dan bukan tunduk kepada penguasa politik,” katanya dalam video ringkas.
Katanya, suasana dan iklim politik boleh berubah sekiranya rakyat bijak memilih kerajaan.
“Tetapi ingatlah, rakyat bila memutuskan dengan bijak anak muda boleh menentukan masa depan mereka, maka suasana dan iklim politik boleh berubah,” katanya.
Dalam pada itu, Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli, berkata peristiwa hari ini bukan satu kemenangan kepada sesiapa.
“Ia satu tragedi kepada negara dan rakyat, wang yang hilang itu tidak akan kembali. Skandal SRC/1MDB memecah belahkan rakyat dan negara. Banyak individu yang menanggung kepayahan untuk memastikan kebenaran ditegakkan,” katanya.
Mahkamah Persekutuan menerusi panel lima hakim yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat, memutuskan menolak rayuan akhir Najib berhubung sabitan dan hukuman 12 tahun penjara dan denda RM210 juta berhubung salah guna kuasa, pengubahan wang haram dan pecah amanah jenayah.
Selain Tengku Maimun, turut bersidang Hakim Besar Sabah dan Sarawak Abang Iskandar Abang Hashim, dan Hakim Mahkamah Persekutuan, Nallini Pathmanathan, Mary Lim serta Mohamad Zabidin Diah.
Najib tiba di Penjara Kajang pada jam 6.05 petang tadi selepas hukuman dikekalkan mahkamah tertinggi itu.
Najib pada 28 Jul 2020 didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi atas tiga tuduhan pecah amanah jenayah, satu tuduhan salah guna kuasa, dan tiga tuduhan pengubahan wang haram, berhubung dana RM42 juta dikaitkan dengan SRC.
Pada 8 Dis 2021 panel tiga hakim Mahkamah Rayuan dipengerusikan Abdul Karim Abdul Jalil sebulat suara mengekalkan sabitan dan hukuman Najib.