Dr M petik nama Umno demi raih publisiti, dakwa Khaled

Dr M petik nama Umno demi raih publisiti, dakwa Khaled

Naib Presiden Umno itu berkata partinya juga tidak pernah mengajak GTA dan Parti Pejuang untuk bekerjasama.

Naib Presiden Umno Khaled Nordin mendakwa Dr Mahathir Mohamad mahu meraih publisiti supaya berita mengenai Parti Pejuang dan Gerakan Tanah Air mendapat perhatian.
PETALING JAYA:
Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad didakwa sengaja memetik nama Umno demi meraih publisiti supaya berita mengenai Parti Pejuang dan Gerakan Tanah Air (GTA) mendapat perhatian, kata Naib Presiden Umno Khaled Nordin.

“Kalau dia tak sebut nama Umno, media tak akan keluarkan berita pasal dia. Bila dia sebut Umno, media akan cari Umno. Padahal (kami) tak perlu komen apa dia cakap,” katanya kepada FMT.

Khaled sebelum itu diminta mengulas mengenai kenyataan bahawa GTA tidak bekerjasama dengan Umno walaupun parti itu sudah “dibersihkan”, susulan Najib Razak kini berdepan “detik sukar” dalam rayuan terakhirnya berhubung sabitan dan hukuman kes rasuah SRC International.

Pengerusi Pejuang itu berkata, Najib yang juga perdana menteri keenam telah “merosakkan” keseluruhan Umno dengan meletakkan “habuan” sebagai keutamaan.

Mengulas lanjut, Khaled berkata Umno juga tidak pernah mengajak GTA dan Pejuang untuk bekerjasama.

“Kenapa dia cakap macam tu? Dia kata tak mahu kerjasama dengan Umno, bila Umno ajak dia,” soalnya.

Khaled turut mengingatkan semua pihak supaya tidak terpedaya dengan gerakan yang ditubuhkan Dr Mahathir dan beberapa parti lain yang kononnya ingin menyelamatkan orang Melayu.

“Dia patut fokus pada kerusi Langkawi kalau dia nak menang pilihan raya umum (PRU)…mungkin akan ada parti-parti lain yang akan termakan dengan cakap-cakap dia, maka naiklah balik dia, maka dapat tempat untuk anak dia. Itu saja. Jadi Umno tak termakan dengan cara dia,” katanya.

GTA ditubuhkan pada 4 Ogos lalu dianggotai empat parti utama iaitu Pejuang, Berjasa, Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) dan Parti Perikatan India Muslim Nasional (Iman).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.