Syarikat milik isteri menteri ‘seleweng’ RM243 juta dana projek LCS, dakwa Rafizi

Syarikat milik isteri menteri ‘seleweng’ RM243 juta dana projek LCS, dakwa Rafizi

Timbalan presiden PKR berkata wanita itu mengawal dua syarikat yang berdaftar di Malta dan Labuan.

Rafizi Ramli mendakwa, syarikat yang dilantik sebagai perunding teknikal dan pembekal alat ganti bagi projek LCS menghantar invois bagi kerja-kerja yang tidak dilaksanakannya.
PETALING JAYA:
Isteri seorang menteri persekutuan dinamakan sebagai pemilik dua syarikat yang didakwa menyeleweng dana projek kapal tempur pesisir (LCS) bernilai RM9 bilion.

Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli berkata, kedua-dua syarikat itu mempunyai nama yang serupa dengan sebuah syarikat Perancis. Syarikat-syarikat tersebut telah didaftarkan sebagai syarikat luar pesisir di Malta dan Labuan.

FMT tidak akan mendedahkan nama pegawai itu, yang pernah berkhidmat sebagai timbalan menteri pertahanan, dan isterinya sementara menunggu komen.

Syarikat isteri individu tersebut, yang dilantik sebagai perunding teknikal dan pembekal alat ganti, menghantar invois bagi kerja-kerja yang tidak dilaksanakannya, kata Rafizi. Akibatnya, sebanyak RM243 juta diseleweng.

“Hakikat bahawa skim-skim menyelewengkan dana LCS menggunakan syarikat-syarikat palsu yang dimiliki oleh timbalan menteri pertahanan pada ketika itu bukanlah satu kebetulan,” katanya.

Rafizi berkata, beliau telah menuntut penjelasan daripada menteri pertahanan ketika itu Ahmad Zahid Hamidi, dan kemudian perdana menteri Najib Razak kerana “mustahil” sebarang penyelewengan dana boleh berlaku tanpa pengetahuan mereka.

“Saya harap pendedahan saya pada hari ini menutup mulut Umno dan Barisan Nasional yang cuba menyalahkan pesara-pesara tentera laut apabila skandal ini meletup,” kata Rafizi dalam kenyataan.

“Saya juga berharap pimpinan Perikatan Nasional dari Bersatu dan PAS mula sedar bahawa skandal LCS ini akan turut mengheret mereka kerana pimpinan kanan mereka dan keluarganya terlibat secara langsung di dalam syarikat-syarikat palsu yang menyelewengkan dana projek LCS.”

Pada 8 Ogos, Rafizi mendakwa beliau memiliki dokumen bocor yang memberi gambaran bahawa perjanjian untuk LCS telah “ditentukan terlebih dahulu” sebelum kerajaan menandatangani perjanjian dengan Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS).

Beliau berkata, dokumen-dokumen ini, serta Kementerian Pertahanan dan keengganan BNS menerima pandangan tentera laut mengenai reka bentuk kapal, mencadangkan wujudnya campur tangan politik dalam pemerolehan kapal-kapal tersebut.

Menurut Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) Parlimen sebelum ini, Putrajaya membelanjakan RM6.08 bilion bagi projek LCS untuk tentera laut itu, tetapi tiada satu pun daripada enam kapal tersebut disiapkan atau dihantar.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.