Menyamar Raja Muda Perak, lelaki didenda RM4,000

Menyamar Raja Muda Perak, lelaki didenda RM4,000

Mohammad Fadhil Lope dituduh memperdaya Muhammad Faizal Azli Md Salleh yang bertugas di Pejabat Tuanku Sultan Kedah dengan menyamar Raja Muda Perak untuk dibenarkan berjumpa Sultan Kedah.

Mohammad Fadhil Lope dituduh mengikut Seksyen 419 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. (Gambar Bernama)
ALOR SETAR:
Seorang lelaki didenda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret selepas mengaku bersalah atas pertuduhan menyamar sebagai Raja Muda Perak pada Jun lepas.

Mahkamah juga memerintahkan Mohammad Fadhil Lope, 39, yang bekerja kampung itu menjalani hukuman penjara selama tempoh 10 bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Mengikut kertas pertuduhan, Fadhil dituduh memperdaya Muhammad Faizal Azli Md Salleh yang bertugas di Pejabat Tuanku Sultan Kedah dengan menyamar supaya mempercayai bahawa tertuduh adalah Raja Muda Perak untuk dibenarkan berjumpa dengan Sultan Kedah.

Tertuduh yang membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Muhammad Zulhilmi Latif didakwa melakukan kesalahan itu di kaunter Pejabat Tuanku Sultan Kedah di Wisma Darul Aman di sini, pada kira-kira 11.30 pagi, pada 28 Jun lepas.

Fadhil dituduh mengikut Seksyen 419 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, semasa Faizal sedang bertugas, tertuduh hadir memperkenalkan diri dengan menggunakan satu kad pengenalan berwarna kuning dan ketika kad itu diperiksa mendapati butiran yang tertera adalah di bawah nama “Duli Yang Maha Mulia Raja Muda Perak Tuanku Tun Mamat Fadhil Duke Of Royal Malaysia”.

Kemudian selepas semakan dibuat dengan ketua protokol dan istiadat negeri Perak mengesahkan bahawa tiada kerabat diraja bernama sedemikian.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Asmaa’ Zamri manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Muhammad Syafiq Ahmad.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.