Laporan audit LCS Boustead didedah kepada umum

Laporan audit LCS Boustead didedah kepada umum

Kementerian Pertahanan berkata laporan itu boleh didapati di laman web parlimen.

Minggu lalu Hishammuddin Hussein mengarahkan BHIC menyahklasifikasi laporan audit forensik berkenaan penghantaran lewat tempur pesisir pantai (LCS).
PETALING JAYA:
Boustead Heavy Industries Corporation (BHIC) bersetuju untuk menyahklasifikasi laporan audit forensik berkenaan penghantaran lewat kapal tempur pesisir pantai (LCS), kata Menteri Kanan Pertahanan Hishammuddin Hussein.

Hishammuddin berkata, laporan itu boleh didapati di laman web Parlimen.

BHIC adalah pemegang saham terbesar dalam Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS), kontraktor dilantik Kementerian Pertahanan untuk membina enam frigat dalam program kapal tempur pesisir.

Minggu lalu, Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki mendedahkan, Hishammuddin telah mengarahkan BHIC untuk menyahklasifikasi laporan audit forensik berkenaan penghantaran lewat LCS.

Asyraf berkata, laporan itu akan memberi penerangan tentang dalang di sebalik rasuah dan penyelewengan yang melanda syarikat itu.

Rabu lalu, Putrajaya telah mendedahkan laporan mengenai projek itu oleh Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK).

Ia susulan badan pemantau Parlimen, Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) dua minggu lalu, mengeluarkan laporan mengenai projek bermasalah bernilai RM9 bilion itu, yang mengalami kelewatan bertahun-tahun.

Pada 16 Ogos lalu, bekas pengarah urusan BNS Ahmad Ramli Mohd Nor didakwa atas tiga pertuduhan pecah amanah membabitkan RM21.08 juta.

Sementara itu, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Parlimen mengesahkan pihaknya telah menerima Laporan Pengauditan Forensik berkaitan “Review Of The LCS Programme” yang dinyahklasifikasikan.

Pengerusinya, Wong Kah Woh berkata, laporan itu telah dimuatnaik ke laman web PAC dan orang ramai yang ingin membaca atau memuat turun laporan berkenaan dengan melayari laman web PAC.

“Laporan Pengauditan Forensik tersebut adalah berdasarkan mandat pengauditan dari tahun kewangan 2011 hingga 2014. Walaupun kebanyakan “Letter of Awards (LOAs)” adalah dikeluarkan oleh BNS dalam tempoh tersebut, namun pelaksanaannya adalah sekurang-kurangnya sehingga tahun 2018.

“Selagi kesemua transaksi dan aktiviti berkenaan dengan pelaksaannya sehingga 2018 belum disiasat dengan mendalam, berkemungkinan fakta penting untuk pembuktian kelakuan jenayah akan ditinggalkan.” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.