Tunggu berita gembira 30 Ogos ini, PM beritahu penjawat awam

Tunggu berita gembira 30 Ogos ini, PM beritahu penjawat awam

Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan Keluarga Malaysianya tidak pernah memandang ringan pengorbanan penjawat awam.

PM Ismail Sabri Yaakob menzahirkan penghargaannya terhadap pasukan keselamatan, petugas kesihatan dan pelbagai agensi kerajaan yang bertugas tanpa lengah dan penuh dedikasi ketika negara dilanda bencana.
PUTRAJAYA:
Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob hari ini memberi bayangan akan mengumumkan berita gembira untuk penjawat awam pada 30 Ogos ini.

Beliau berkata, kerajaan Keluarga Malaysia yang diterajuinya sentiasa menghargai pengorbanan penjawat awam, termasuk pasukan keselamatan di bawah kepimpinan Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali.

Katanya, di saat negara sedang mengalami kesusahan seperti banjir besar yang tidak dijangka, pasukan keselamatan seperti polis, tentera, bomba, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Kesihatan, Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Agensi Pengurusan Bencana Negara dan pelbagai agensi kerajaan lain bertugas tanpa lengah dan penuh dedikasi.

“Insya-Allah, kita akan mengumumkan sesuatu yang menceriakan bagi mengubat duka lara para penjawat awam pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam yang dijadualkan pada 30 Ogos nanti.

“Tunggulah saya pun tengah fikir mengenainya,” katanya ketika berucap merasmikan Simposium Keluarga Malaysia: Pencapaian dan Harapan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini hari ini.

Ketika negara berdepan wabak COVID-19, Ismail Sabri berkata, ada banyak cerita kesedihan petugas kesihatan yang berkorban jiwa raga dan nyawa dalam menangani virus itu.

Katanya, jasa dan pengorbanan mereka sebagai wira tidak didendang akan terus terpahat dalam lipatan sejarah.

Menurutnya, hasil kerja keras semua pihak dan kejayaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) khususnya, Malaysia menjadi antara negara yang mencatat kadar vaksinasi terpantas, seterusnya memasuki Fasa Peralihan ke Endemik pada 1 April lepas.

“Sesebuah kerajaan hanya akan menjadi kuat dan berkesan jika ia mendapat dukungan daripada semua pihak. Alhamdulillah, kerajaan Keluarga Malaysia tidak pernah bersengketa atau memandang ringan pengorbanan penjawat awam.

“Begitu juga dengan para aktivis masyarakat yang cekal berkhidmat kepada negara, khususnya melalui pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan, Kerajaan Keluarga Malaysia sentiasa mengingati sumbangan mereka,” katanya.

Perdana menteri dalam ucapannya turut mewakili kerajaan mengucapkan ribuan terima kasih kepada petugas kesihatan yang bertungkus-lumus menyelamatkan mangsa Covid-19.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.