
Dua ahli kumpulan Family Frontiers berkata, pihaknya mendapat laporan mengenai segelintir wanita Malaysia yang tidak dapat pulang ke tanah air dengan anak-anak disebabkan isu kerakyatan ini.
Ketua penyelaras kumpulan itu, Bina Ramanand berkata, seorang rakyat Malaysia yang tinggal di luar negara ada menghubungi Family Frontiers memberitahu beliau terperangkap dalam perkahwinan yang menganiaya kerana suaminya enggan membenarkannya pulang ke Malaysia bersama anak-anaknya.
Penyelaras advokasi dan libat urus masyarakat Family Frontiers Corina Robert Mangharam berkata, jika kanak-kanak terbabit secara automatik menjadi warganegara Malaysia menerusi ibu mereka, wanita itu akan dapat meninggalkan suami yang menganiayanya.
Memberi contoh satu lagi yang kes dikendalikan kumpulan itu, beliau berkata, ada rakyat Malaysia yang terpaksa kekal berada di Amerika Selatan, tempat kelahiran anaknya.
Meskipun wanita itu telah meninggalkan pasangannya, beliau tidak dapat pulang ke Malaysia kerana anak-anaknya mungkin berdepan masalah disebabkan taraf kerakyatan mereka.
“Mereka tahu anak-anak mereka hanya akan dapat visa jangka pendek, dan mungkin terpaksa keluar masuk negara ini secara berkala agar visa mereka dapat dibaharui,” kata Mangharam kepada FMT.
Ramai dalam kalangan wanita Malaysia ini ialah ibu tunggal yang berdepan kekangan kewangan untuk melakukan perjalanan berulang kali bagi membaharui visa anak mereka.
Masalah yang mereka hadapi adalah anak-anak mereka tidak menjadi warganegara secara automatik, walaupun ibunya rakyat Malaysia.
Pada 5 Ogos, Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa mengikut undang-undang, kanak-kanak yang lahir di luar negara beribukan rakyat Malaysia boleh dinafikan taraf warganegara.
Hakim Kamaludin Md Said dan Azizah Nawawi berpendapat bahawa Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan kerakyatan kepada anak yang bapanya rakyat Malaysia, dan maksud perkataan “bapa” dalam peruntukan itu tidak boleh diperluas kepada ibu atau ibu bapa.
Terpulang kepada Parlimen, bukan mahkamah, untuk menulis semula Perlembagaan, kata mereka.
Ramanand berkata, kanak-kanak bukan warganegara berdepan masalah untuk mendapatkan pendidikan, penjagaan kesihatan pada harga berpatutan, peluang ekonomi dan perlindungan sosial.
Kanak-kanak bukan warganegara tidak boleh didaftarkan di sekolah sehingga semua kanak-kanak rakyat Malaysia telah didaftarkan, dan ini boleh mengambil masa sehingga 10 bulan selepas itu.
Apabila mendapatkan rawatan di hospital atau klinik kerajaan, mereka perlu membayar kadar “warga asing”.
Sementara itu, Mangharam menggesa kerajaan mengusulkan pindaan perlembagaan bagi membolehkan anak-anak yang ibunya rakyat Malaysia dapat kerakyatan secara automatik mengikut undang-undang.
“Dari segi undang-undang, tiada apa yang menghalang Jemaah Menteri menerajui usaha ini bagi meringankan kesulitan yang dihadapi ibu-ibu rakyat Malaysia dan menegakkan hak mereka,” katanya.