
Dalam kenyataan bersama, Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat DAP Young Syefura Othman, Syahredzan Johan dan Sheikh Umar Bagharib Ali mendesak Hadi menjelaskan mengapa kedudukan indeks persepsi rasuah negara lebih buruk berbanding negara bukan Islam, sedangkan PAS sendiri telah berada dalam kerajaan sejak 2020.
“Ini menunjukkan bahawa ketiadaan ‘political will’ oleh pemimpin telah merencatkan usaha Malaysia membasmi rasuah hingga ke akarnya.
“Lebih teruk lagi apabila pemimpin sendiri bergelumang dengan rasuah dan salahguna kuasa. Ini bukannya soal bukan Islam atau bukan bumiputera sepertimana dakwaan Hadi. Tanggungjawab memerangi rasuah merentasi kaum dan agama,” kata mereka.
Mereka mengingatkan Ahli Parlimen Marang itu bahawa negara yang bukan majoriti Islam seperti Denmark, Finland dan New Zealand menjadi antara negara teratas melawan rasuah menerusi Indeks Persepsi Rasuah (CPI).
“Bahkan, negara jiran Malaysia – Singapura sendiri pun telah jauh meninggalkan kita. Negara-negara tersebut bukan majoriti beragama Islam, tetapi kesungguhan mereka melawan rasuah adalah jauh lebih baik daripada negara kita,” kata mereka.
Menurut mereka, banyak perkara mendorong amalan rasuah dan punca utamanya adalah kurang sokongan, kurang kesedaran, kerenah birokrasi, kurang pengesanan awal, kurang usaha mencegah rasuah serta kelemahan penguatkuasaan.
Menurut laporan Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023 itu juga, kelemahan pentadbiran Malaysia ekoran manipulasi terhadap sistem dan prosedur menjadi punca amalan rasuah tertinggi mencecah 36%.
“Konflik kepentingan membabitkan kuasa budi bicara, kuasa mutlak dan campur tangan politik pula menyumbang sebanyak 33.12%.
“Banyak perkara mendorong amalan rasuah. Laporan Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023 mendedahkan, punca rasuah berlaku ekoran kurang sokongan, kurang kesedaran, kerenah birokrasi, kurang pengesanan awal, kurang usaha mencegah rasuah serta kelemahan penguatkuasaan,” katanya.
Semalam, Hadi di Facebook mendakwa golongan bukan Islam dan bukan Bumiputera dikatakan kumpulan majoriti menjadi perosak politik dan ekonomi negara.
Sementara itu, Lee Chin Chen yang juga Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat DAP menyifatkan Hadi sebagai pemimpin jahil dan biadab, dengan menyifatkan pemimpin PAS itu terlalu sombong kerana kerap menyinggung perasaan orang bukan Islam.
Lee berkata, dakwaan Hadi itu adalah satu tuduhan yang serius, rasis, dan prejudis, malah boleh menggugat keharmonian kaum di dalam negara.
“Saya kagum dengan sikap jahil pemimpin PAS yang tidak menghormati langsung masyarakat bukan Islam dan bukan Bumiputera di dalam negara ini, seolah-olah kami ini bukanlah rakyat negara ini.
“Ini bukan kali pertama pemimpin PAS mengeluarkan kenyataan biadab berkaitan masyarakat bukan Islam dan bukan Bumiputera,” katanya.