Mahkamah Persekutuan mungkin terus buat keputusan dalam rayuan akhir kes SRC Najib

Mahkamah Persekutuan mungkin terus buat keputusan dalam rayuan akhir kes SRC Najib

Peguam berpendapat, mahkamah boleh membuat keputusan berdasarkan hujahan bertulis dan petisyen rayuan yang difailkan di sebelum ini.

Tahun lepas, Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi dan menolak rayuan Najib Razak untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara serta denda terhadapnya.
KUALA LUMPUR:
Banyak ketidakpastian dilihat mengenai apa yang bakal berlaku dalam rayuan terakhir Najib Razak berhubung kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd, susulan keengganan peguamnya membuat sebarang hujahan bagi membela bekas perdana menteri itu.

Jumaat lepas, peguam utama Najib, Hisyam Teh Poh Teik memaklumkan panel lima anggota Mahkamah Persekutuan yang diketuai Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat bahawa beliau juga tidak akan mengemukakan hujahan lisan untuk anak guamnya.

Tengku Maimun bagaimanapun berkata, mahkamah akan menangani perkara itu Selasa ini. Mahkamah sebelum ini menetapkan 15 hingga 19 Ogos serta 23 hingga 26 Ogos untuk mendengar rayuan berkenaan.

Sehubungan itu, ramai dalam kalangan pengamal undang-undang berpendapat bahawa mahkamah tertinggi itu boleh membuat keputusan serta-merta walaupun tiada hujahan daripada peguam bela Najib.

Peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata, hal ini kerana mahkamah boleh membuat keputusan berdasarkan hujahan bertulis yang difailkan oleh pasukan pembelaan Najib sebelum ini di Mahkamah Rayuan tahun lepas.

Katanya, keputusan juga boleh dibuat berdasarkan petisyen rayuan yang difailkan oleh peguam cara Najib sebelum ini pada 25 April lepas, yang menyenaraikan 94 alasan mengapa Najib perlu dibebaskan.

“Terdapat bahan yang mencukupi di hadapan Mahkamah Persekutuan untuk dibincangkan walaupun tanpa penghujahan lisan. Oleh itu, tidak mungkin kes itu akan ditangguhkan,” katanya.

Peguam Lim Wei Jiet juga bersetuju dengan berkata, mahkamah tertinggi negara itu berkemungkinan akan membuat keputusan berdasarkan alasan rayuan dalam memorandum rayuan, rekod rayuan serta hujahan dalam Mahkamah Rayuan sebelum ini oleh pasukan pembelaan Najib.

Sementara itu, Gurdial Singh Nijar berpendapat mahkamah mungkin memuktamadkan perbicaraan pada hari itu, tetapi akan menangguhkan penghakimannya kepada tarikh yang akan ditetapkan kemudian.

“Keputusan mungkin akan disampaikan pada hari lain,” kata peguam itu.

Pihak pendakwaan yang diketuai oleh pendakwa ad hoc V Sithambaram ketika menggulung hujahannya Jumaat lepas berkata, mahkamah boleh terus sahaja membincangkan keputusan mereka, sekiranya tiada hujahan bertulis atau lisan baharu bekas perdana menteri itu.

Memetik undang-undang kes, Sithambaram berhujah bahawa terdapat duluan bagi mahkamah untuk “meneruskan dengan sewajarnya” kerana pihak pembelaan telah menyatakan bahawa mereka tidak bercadang untuk memfailkan sebarang hujahan baharu bagi rayuan itu.

Jumaat lepas menjadi hari kedua pendengaran hujahan oleh panel itu, yang turut dianggotai Hakim Besar Sabah dan Sarawak Abang Iskandar Abang Hashim, serta hakim Mahkamah Persekutuan Nallini Pathmanathan, Mary Lim Thiam Suan dan Mohamad Zabidin Mohd, untuk mendengar keputusan akhir Najib merayu bagi membatalkan sabitan dan hukumannya.

Dua hari prosiding menyaksikan pelbagai peristiwa menarik. Hisyam mula-mula cuba menarik diri daripada mewakili Najib, namun permohonannya ditolak oleh mahkamah, dan mahkamah mengarahkan pihak pendakwaan mengemukakan hujahan mereka.

Hisyam pada Jumaat juga memberitahu panel bahawa Najib telah melepaskan peguamnya, Zaid Ibrahim Suflan TH Liew & Partners (ZIST) daripada mewakilinya.

Peguam itu sekali lagi meminta mahkamah menangguhkan perbicaraan kepada Khamis minggu depan kerana beliau mempunyai kes lain pada Selasa dan Rabu, namun ia ditolak oleh mahkamah.

Pada 16 Ogos, mahkamah menolak permohonan Hisyam untuk menangguhkan pendengaran rayuan dan mengarahkan rayuan diteruskan pada 18 Ogos.

Pada 28 Julai 2020, Hakim Mahkamah Tinggi ketika itu, Mohd Nazlan Ghazali (kini hakim Mahkamah Rayuan) menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun ke atas Najib bagi setiap tiga tuduhan pecah amanah jenayah (CBT) dan setiap tiga tuduhan pengubahan wang haram, dan penjara 12 tahun serta denda RM210 juta (jika gagal dibayar, penjara lima tahun) bagi tuduhan menyalahgunakan kedudukan.

Tahun lepas, Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi dan menolak rayuan Najib untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara serta denda.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.